Penyokong The Bos Gaurus harap sinar baharu

Para pemain Perak FC. - Foto Perak FC
Para pemain Perak FC. - Foto Perak FC
A
A
A

MASALAH tunggakan gaji, pemain 'angkat kaki' dan kemelut dalaman yang membelenggu Perak FC selama ini perlu dinoktahkan susulan pengambilalihan semua pegangan saham pasukan itu sepenuhnya oleh syarikat pengiklanan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Itu antara hasrat beberapa kelab penyokong The Bos Gaurus yang dahagakan pembaharuan bagi melonjakkan semula Perak FC ke tahap lebih baik dan berkualiti untuk bersaing semula dalam kancah bola sepak negara selain mengembalikan zaman kegemilangan pasukan.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Perak The Bos Gaurus - More Organised Brotherhood Soul (TBG MOBS), Mohd Shirin Adenan berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pengambilalihan ini sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang sering membelenggu pasukan.

“Syukur ada yang sanggup ambil alih, sekurangnya masalah gaji dan pentadbiran diharapkan tiada lagi kami dengar. Kita kena beri peluang kepada syarikat ini untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

“Kami sebagai pemain ke-12 percaya ini juga antara sinar baharu dalam menarik minat dan sokongan terhadap Perak FC selain mencari pemain lebih berkaliber dan berkualiti untuk membawa pasukan ke era kegemilangan,” katanya.

Pengerusi Die Hard Fanz (DHF), Roslan Mat Baharom berkata, pengambilalihan dan tajaan baharu itu mampu melonjakkan semangat pemain dan juga pengurusan lebih teratur tanpa dihimpit beban kewangan.

“Tajaan itu sangat positif, bukan mudah untuk diperolehi ketika ini. Pengurusan juga tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan negeri sahaja kerana penglibatan syarikat swasta dan korporat juga penting.

“Pengambilalihan ini juga diharap dapat menyelesaikan masalah antara PAFA dan Perak FC agar tidak mengganggu perjalanan pentadbiran dan pengurusan pasukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Senada dengannya Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shib yang percaya pengambilalihan itu satu titik permulaan baharu untuk Perak FC.

“Walaupun ada sinar tetapi ia jauh di hujung terowong. Kita mahu isu ini diselesaikan dan jangan disingkirkan gabungan persatuan yang lain. Semestinya tajaan baharu ini mampu membawa pasukan untuk lebih berdaya saing,” katanya. - Bernama