LBS Bina Group Berhad catat keuntungan RM34 juta

Tan Sri Lim Hock San
Tan Sri Lim Hock San
A
A
A

PEMAJU perbandaran terkemuka antarabangsa, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM34 juta bagi suku tahun dalam tinjauan.

Kumpulan itu dalam pengumuman keputusan suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 juga turut memaklumkan keuntungan selepas cukai yang direkodkan sebanyak RM20 juta, dengan peningkatan suku ke suku masing-masing sebanyak 34.5 peratus dan 3.2 peratus.

Selain itu, LBS turut mencatatkan hasil dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM254 juta dan RM18.1 juta, di sebalik impak Covid-19 yang turut mempengaruhi jualan dan pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh.

Dalam kenyataannya, LBS turut melaporkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih daripada 81 peratus pendapatan syarikat bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021.

“Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021, hasil dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 15 peratus dan 153.7 peratus kepada RM922.4 juta dan RM60 juta, berbanding tempoh yang sama pada 2020.

“PATMI bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021 telah melepasi jumlah PATMI 2020 sebanyak RM51. 3 juta.

“Peningkatan ini adalah sebahagian besarnya berikutan kadar pengambilan positif serta kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek pembangunan berterusan LBS di KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Taman Perindustrian Alam Awana, Residensi Bintang Bukit Jalil dan Cameron Centrum.

“Kedudukan dan kesetaraan tunai LBS bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021 berjumlah RM197.4 juta, meningkat 30.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya,” menurut kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

LBS juga memaklumkan terdapat 20 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM5.65 bilion, di samping bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,794 ekar dengan anggaran GDV berjumlah RM24.3 billion dan jualan belum dibilkan sebanyak RM2.17 bilion.

LBS Bina Group Berhad (LBS)
LBS Bina Group Berhad (LBS)

Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, kumpulan itu mampu mengekalkan pertumbuhan pendapatannya, hasil daripada pelancaran projek-projek yang dirancang dengan teliti.

Di samping itu jelasnya, usaha berterusan kakitangan untuk terus maju dengan memperoleh jualan dan tempahan walaupun terkesan daripada penularan pandemik Covid-19.

“Keputusan suku tahunan ini merupakan ganjaran yang menguntungkan dan kami berharap agar usaha ini dapat diteruskan sehingga ke akhir tahun 2021.

“Sehingga 21 November 2021, kami telah berjaya memperoleh RM1.10 bilion bagi jualan dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM950.2 juta. Berbanding sasaran awal, kami telah mencapai 92 peratus daripada sasaran jualan 2021 yang ditetapkan pada RM1.2 bilion.

“Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul dan terus menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan rakyat. Berdasarkan laporan Statistik Biro Perumahan, Malaysia masih mengalami kekurangan sebanyak RM1 juta unit rumah kediaman mampu milik,” katanya.

Tambahnya, LBS juga baru melancarkan Prestige Residence di Seri Kembangan dan fasa baru KITA Mesra, melibatkan projek pembinaan rumah di perbandaran KITA @ Cybersouth.

LBS katanya, menyokong rancangan Kerajaan Selangor untuk membina 30,000 rumah mampu milik di lokasi strategik menjelang 2025.

“Kami telah memperoleh enam buah projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang bakal dibina menggunakan konkrit pratuang IBS dan berharap dapat terus bekerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada masa sama, walaupun unjuran sektor hartanah dijangka kekal mencabar, LBS optimis dan menjangkakan kebanyakan operasi di Malaysia akan kembali pulih, setelah mencapai lebih 90 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

Jelasnya, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, terdapat peningkatan sebanyak 18.5 peratus dalam bilangan urus niaga bagi hartanah di bawah RM500,000 pada separuh pertama 2021, berbanding tempoh yang sama pada 2020.

Ini adalah petanda positif bagi sektor hartanah, khususnya bagi segmen perumahan mampu milik, kerana ia memberikan pandangan optimis bahawa pasaran hartanah berada di landasan pemulihan.