JBPM fokus lokasi banjir, tanah runtuh

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid -Foto Sinar Harian Rosli Talib
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid -Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memfokuskan lokasi kawasan panas (hotspot) banjir dan tanah runtuh dalam menghadapi segala kemungkinan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan mendapatkan data daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, JBPM juga memberi tumpuan kepada loji janakuasa elektrik yang berada di kawasan rendah kerana ia salah satu elemen risiko penduduk sekitar sekiranya berlaku banjir.

"Penduduk setempat digesa menjadi mata dan telinga JBPM dengan memaklumkan situasi paras air dan sungai di kawasan masing-masing.

"Langkah ini bagi memudahkan pemantauan dan persediaan sekiranya bencana banjir melanda," katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JPBM 2020, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sebagai persediaan awal, JBPM menyediakan kit kecemasan lemas dikenali sebagai Life-Saving Appliances (LiSA) di 62 lokasi berisiko seperti sungai, tali air, jeram, kawasan air terjun dan tepi pantai.

"Kit kecemasan lemas yang mengandungi tali, kayu, jaket keselamatan, pelampung dan peti pertolongan cemas juga bertindak sebagai peranti awal kecemasan kepada JBPM sekiranya berdepan banjir, lemas dan kepala air," katanya.

Katanya, kini apa yang membimbangkan adalah orang ramai lebih suka mandi di kawasan bukan hotspot, tetapi di kawasan terpencil jauh daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihati agar mendapatkan nasihat daripada penduduk setempat sekiranya berkunjung ke lokasi air terjun, sungai atau pantai," katanya.