Sistem pekerjaan, keselamatan sosial perlu pembaharuan menyeluruh

Tengku Zafrul. - Foto Sinar Harian
Tengku Zafrul. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem pekerjaan dan keselamatan sosial Malaysia perlu melalui pembaharuan yang menyeluruh untuk memastikan keselamatan sosial yang mencukupi dan pekerjaan yang sewajarnya, terutamanya untuk golongan belia di negara ini, kata Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Covid-19 telah menunjukkan risiko dan kejutan global yang boleh menjejaskan sepenuhnya pelan persaraan jangka panjang seseorang.

“Cabaran untuk meningkatkan keselamatan sosial termasuklah pencen hari tua yang mencukupi dan menguruskan penduduk yang semakin berusia turut dipergiatkan.

“Pada akhir tahun ini, daripada 6.1 juta ahli berumur di bawah 55 tahun dengan simpanan kurang daripada RM10,000, hampir 75 peratus tidak akan mempunyai dana yang mencukupi atau sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya dalam ucapan penutup pada International Social Wellbeing Conference 2021 bertemakan ‘The New Narrative: Turning the Tide on Inequality’ di sini pada Rabu.

Beliau berkata, penting bagi kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara memberikan akses awal kepada simpanan persaraan sebagai langkah jangka pendek dan potensi impak negatif jangka panjang terhadap kecukupan pencen hari tua.

Malah, Malaysia hanya mempunyai sembilan tahun lagi untuk 2030, apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk dijangka berumur 60 tahun atau lebih, katanya, sambil menambah ini menyebabkan negara hanya mempunyai beberapa tahun untuk merancang dan melaksanakan dasar dan pembaharuan berkaitan usia.

“Sehubungan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikehendaki oleh undang-undang untuk melindungi dana persaraan ahlinya. Apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula, kerajaan akan mengkaji cara untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas membina semula dana persaraan mereka,” katanya.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sejak bermulanya pandemik, kerajaan telah menyediakan bantuan fiskal bernilai hampir AS$17 trilion.

Artikel Berkaitan:

“Dalam negara, kami telah mengumumkan rangsangan ekonomi dan pakej bantuan bernilai RM530 bilion. Seperti digariskan dalam Bajet 2022, kami komited untuk meneruskan pelbagai program perlindungan sosial yang akan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam Bajet 2022, katanya, pelbagai langkah diperkenalkan untuk membantu rakyat dan perniagaan pulih termasuk bantuan secara langsung untuk kumpulan berpendapatan rendah 40 peratus (B40) dan sebahagiannya 40 peratus pertengahan (M40) serta pinjaman mikro dengan kadar faedah sifar peratus dan moratorium selama enam bulan.

Bagi mengurangkan impak ekonomi daripada pandemik Covid-19, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) telah menjadikan pengekalan dan mewujudkan pekerjaan sebagai keutamaan dengan menubuhkan Majlis Pekerjaan Kebangsaan (NEC) pada Disember, 2020.

NEC dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disokong oleh pelbagai Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh kementerian berkaitan serta Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) MOF.

Bagi tahun depan, selain mewujudkan pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, turut menjadi isu penting ialah pengangguran dan pendidikan kewangan yang sedang diteliti.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan melalui program JaminKerja pada 2022 selain menangani isu struktur pekerjaan seperti ketidakpadanan kemahiran, pengangguran belia dan pengangguran serta mempertimbangkan bidang keusahawanan sebagai platform yang menyediakan pekerjaan.

“Selain pembiayaan, langkah-langkah akan diambil untuk memberi insentif kepada penggunaan pendigitalan dan teknologi untuk menggalakkan keusahawanan dan turut melengkapkan pekerja dengan kemahiran teknikal yang sesuai, terutamanya mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang rendah tetapi mahir menggunakan tangan.

“Kita juga perlu mengiktiraf Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai platform yang menyediakan pekerjaan. Mencerminkan kepentingan TVET, kami telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk pembangunannya pada 2022,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memandang serius dalam memupuk celik kewangan dalam kalangan rakyat berikutan ini akan membolehkan mereka mengambil tanggungjawab terhadap usaha menampung persaraan dan kesejahteraan kewangan mereka.

“Literasi kewangan juga menggalakkan lembaran imbangan isi rumah yang stabil dan memberi manfaat kepada ekonomi dan sistem kewangan secara keseluruhannya,” katanya. - Bernama