MB, KM setuju pinda undang-undang negeri 18 tahun calon pilihan raya

Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil. - Foto Bernama
Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 pada Selasa.

"Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi, beliau turut mengajak semua kerajaan negeri agar menyegerakan pelaksanaan projek berkaitan ekonomi dan perniagaan.

"Antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Ismail Sabri berkata, semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan.

Beliau berkata, turut dibincangkan dalam MBKM ialah usaha bersama kerajaan pusat serta negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulihkan kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang 2030.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan sedang mempertimbang pemberian insentif kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek dalam usaha menjamin kelestarian biodiversiti.

Artikel Berkaitan:

"Pemberian berbentuk pampasan itu merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) bagi meneliti caj serta fi perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi tinggi serta membebankan rakyat.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed telah membentangkan Bajet 2022 yang kini di peringkat perbahasan serta Rancangan Malaysia Ke-12 kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Melalui pendekatan Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak agar mengetepikan latar belakang dan fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19 serta memulihkan ekonomi," katanya. - Bernama