Loji PRS Simpang Renggam atasi pencemaran ammonia

Amran berucap pada Majlis Makan Malam Lawatan Media ke Fasiliti Ranhill Johor di Hotel Doubletree di sini pada Selasa.
Amran berucap pada Majlis Makan Malam Lawatan Media ke Fasiliti Ranhill Johor di Hotel Doubletree di sini pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Loji Rawatan Air Sisa Kumbahan (PRS) Simpang Renggam menjadi platform teknologi baharu Ranhill Water Technologies (RWT) Sdn Bhd mengesan dan mengelakkan pencemaran ammonia pada bekalan air bersih di daerah ini.

Presiden Kumpulan Ranhill, Amran Awaluddin berkata, loji bernilai RM 6.9 juta yang merupakan PSR pertama dan terbesar di Malaysia itu juga dibangunkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Beliau berkata, fasiliti itu yang siap dibina pada 2019 bertindak sebagai loji berkesan dalam menampung lonjakan paras kepekatan ammonia daripada sungai berhampiran yang dipercayai berpunca daripada limpahan larutan dari tapak pelupusan sampah CEP Simpang Renggam.

"Kita maklum yang kawasan ini dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam pernah mengalami masalah pencemaran ammonia dan kesan ketara kita boleh lihat ialah ia perlu ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan.

"Kita dimaklumkan, pencemaran ini adalah akibat resapan daripada tapak pelupusan sampah di kawasan berhampiran. Jadi, kita bina PRS ini untuk membolehkan pengesanan awal selain merawat semula air ini sebelum ia dilepaskan semula ke sungai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Program Lawatan Media ke Fasiliti Kumpulan Ranhill Johor di Hotel Doubletree di sini pada Selasa.

Sebelum ini, pada 2019, kerajaan Johor mengumumkan kawasan sekitar Simpang Renggam dan Pontian mengalami gangguan bekalan air berikutan LRA Simpang Renggam yang terpaksa ditutup ekoran pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut.

Keadaan itu berlaku apabila benteng kolam leachate di pusat pelupusan sampah CEP Simpang Renggam pecah akibat hujan lebat dan telah memberi kesan kepada bekalan air bersih untuk hampir 75,000 pengguna di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Amran berkata, PSR Simpang Renggam itu juga berupaya untuk memastikan kadar ammonia dalam ekosistem bekalan air di kawasan berkenaan kekal pada paras bawah 10 bahagian seperjuta (ppm) berbanding keadaan tercemar iaitu pada paras 500 ppm.

"Kita bukan sahaja pastikan pengguna menerima air bersih semata-mata tetapi untuk mengurangkan kos penutupan dan penyelenggaraan loji sekiranya berlaku pencemaran ammonia.

"Bila kita kesan sahaja ada sumber pencemaran, LRA di sini akan ditutup serta merta dan loji ini akan berfungsi. Dengan cara ini, kita tidak akan mengalami masalah kelewatan yang terlalu panjang dan kekurangan bekalan air," katanya.