Penerima GKP dipertimbang untuk terima BKM: Tengku Zafrul

Tengku Mohd Zafrul ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Tengku Mohd Zafrul ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas Covid-19 akan dipertimbangkan untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi permohonan baharu dan kemas kini untuk BKM, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 hingga 31 Jan tahun depan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan masih diberi peluang untuk memohon.

Katanya, data daripada sembilan agensi kerajaan akan dimasukkan ke dalam data BKM bagi mengurangkan “exclusion error”.

“Ini merangkumi data eKasih, bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), penghuni perumahan awam atau projek perumahan rakyat, Orang Asli, gelandangan berdaftar, ibu tunggal, penerima skim insurans Perkeso dan penerima zakat atau Baitulmal,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata, bagi separuh tahun kedua 2021, sebanyak RM10 bilion bantuan tunai disediakan termasuk Bantuan Khas COVID-19 dan bayaran RM500 GKP, dengan RM8.8 bilion disalurkan dari Julai hingga November dan baki RM1.2 bilion pada Disember.

Kerajaan memperkenalkan BKM menerusi Bajet 2022 dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk disalurkan kepada 9.6 juta penerima.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kebanyakan syarikat yang akan dikenakan Cukai Makmur adalah syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri perbankan, perladangan kelapa sawit dan sarung tangan getah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan rekod, 113 syarikat yang mencapai had pendapatan sebelum cukai melebihi RM100 juta dalam tempoh dua tahun kewangan lalu adalah daripada industri itu.

“Cukai Makmur hanya akan dikenakan secara ‘one-off’ (sekali) sahaja di peringkat syarikat dan bukan di peringkat pengeluaran akhir atau barangan siap.

“Jadi, pendapatan bercukai yang dikenakan adalah setelah mengambil kira insentif percukaian yang diberikan. Ini bermakna setelah pendapatan syarikat ditolak insentif cukai itu, barulah pendapatan yang melebihi RM100 juta setahun akan tertakluk kepada cukai makmur pada kadar 33 peratus,” katanya.

Sementara itu, sesi penggulungan itu sedikit kecoh sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengarahkan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dewan selama 20 minit selepas enggan mematuhi arahan untuk tidak mengganggu jawapan Menteri Kewangan.

Rayer mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) tidak disenarai hitam dan dibenar ke luar negara, namun tidak berpuas hati dengan jawapan Tengku Zafrul bahawa perkara itu adalah keputusan mahkamah.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan berjumlah RM15,946,434,600 dengan lebih suara menyokong. - Bernama