Tidak wajar sentuh perbelanjaan Zahid, isteri sebagai 'shopping spree'

Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bagi prosiding kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bagi prosiding kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa pendakwaan tidak sepatutnya menyentuh isu perbelanjaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakannya sebagai ‘shopping spree’ (tabiat berbelanja).

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika hujahan pada akhir pendakwaan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, membabitkan Ahmad Zahid.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Hamidi mempertikaikan pandangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Toran yang mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid dan isterinya terfikir mengenai orang miskin ketika membeli-belah.

Beliau berkata, mengaitkan perkara itu dengan anak guamnya adalah tidak relevan sama sekali.

“Kami tersinggung dengan kenyataan itu kerana ia sangat prejudis dan kami bantah sekeras-kerasnya penggunaan fakta yang tidak relevan.

“Kami dengan rendah hati berharap mahkamah tidak mengambil kira soal yang tiada kaitan langsung,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Raja Rozela memberitahu mahkamah bahawa, Ahmad Zahid menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya lebih RM1.3 juta yang digunakan untuk membeli-belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.

Selain itu katanya, Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis membelanjakan lebih RM1.3 juta itu untuk membeli-belah dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penggunaan kad kredit secara meluas bagi pembelian di gedung mewah di dalam negara malah di seluruh dunia boleh dilihat melalui penyata bulanan kad kredit.

“Walaupun diakui, tabiat berbelanja tertuduh dan isterinya mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika mereka membeli-belah seperti di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes,” katanya.

Dalam pada itu, ketika prosiding bersambung selepas rehat tengah hari, Hamidi menghujahkan, saksi pendakwaan ke-90, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly bukan kambing hitam tetapi penjenayah.

Katanya, pasukan pembelaan tidak menganggap atau menjadikan saksi itu sebagai kambing hitam kerana ada bukti menunjukkan Mazlina cuai dalam melaksanakan tugas.

Sekali gus katanya, ia menjadikan Mazlina sebagai penjenayah yang patut dibicarakan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding bersambung Isnin depan.