Tindakan tegas kepada pelaku cemar Sungai Masai

Keadaan di sekitar jeti Kampung Pasir Gudang Baru yang dilihat masih belum pulih daripada tompokan putih akibat pencemaran berkenaan. (Gambar kecil, Vidyanathan)
Keadaan di sekitar jeti Kampung Pasir Gudang Baru yang dilihat masih belum pulih daripada tompokan putih akibat pencemaran berkenaan. (Gambar kecil, Vidyanathan)
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang dipercayai terlibat dalam kes pencemaran sisa buangan di Sungai Masai berhampiran Kampung Nelayan Pasir Gudang Baru di sini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan setakat ini seramai lima anggota daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah dihantar untuk melakukan siasatan.

"Kami ada menerima makluman dan difahamkan kejadian pencemaran yang menyaksikan berlakunya tompokan putih di permukaan sungai ini adalah kejadian kali pertama berlaku di kawasan itu.

"Buat masa ini, JAS Johor sudah mengambil persampelan air sungai dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya (Selangor) untuk dianalisis. Tindakan tegas akan diambil jika JAS dapat mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di Kampung Pasir Gudang Baru di sini mengalami kesukaran untuk turun ke laut akibat pencemaran sisa buangan berupa tompokan putih yang tidak diketahui punca sejak Jumaat lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati, keadaan di sekitar jeti juga dipenuhi tompokan putih dengan para nelayan turut mengambil pendekatan tidak turun ke laut kerana gusar sisa tidak diketahui itu boleh merosakkan peralatan mereka.

Vidyanathan berkata, pihaknya juga berharap orang ramai khususnya penduduk setempat dapat melaporkan sebarang perkara yang mencurigakan kepada pihak JAS untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta memberikan kerjasama menyalurkan aduan kepada JAS jika berlaku sebarang pencemaran pada kadar segera supaya pegawai penyiasat JAS dapat menjalankan siasatan sebelum bukti pencemaran hilang," katanya

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad berkata, sehingga kini keadaan di kawasan berkenaan masih belum pulih seperti sediakala.

Mohd Azizi
Mohd Azizi

"Keadaan di kawasan buat masa ini masih sama, apa pun kita harap hujan lebat di sini dapat membuat air mengalir dan membersihkan kembali sisa-sisa ini daripada permukaan sungai," katanya.