Laporan palsu hilang Mykad, 68 kertas siasatan dibuka

Polis
Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 68 kertas siasatan dibuka sehingga November ini berkaitan laporan polis palsu kehilangan kad pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komissioner Beh Eng Lai berkata, 59 daripada jumlah keseluruhan tersebut telah dituduh di mahkamah.

Menurut beliau, kesemuanya telah didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Sebahagian besar kes ini dikesan menerusi laporan polis yang dibuat berhubung jenayah samun dan ragut.

"Dalam tempoh antara 1 Januari 2021 sehingga 21 November 2021, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menerima sebanyak 68 laporan polis yang dibuat berhubung dengan jenayah samun dan ragut.

"Kesemua laporan polis yang diterima dikesan adalah laporan palsu iaitu sebahagian besarnya melibatkan individu yang kehilangan kad pengenalan diri (Mykad)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, hasil siasatan awal polis, mendapati kebanyakan individu tersebut membuat laporan polis palsu dengan menyatakan telah diragut atau disamun.

"Kesahihan dan kebenaran setiap laporan polis yang dibuat akan diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lebih lanjut berkaitan laporan si pengadu.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan kejadian yang dilaporkan adalah rekaan semata-mata dan kehilangan Mykad adalah atas kecuaian sendiri," katanya.

Tambahnya, pihak polis juga mendapati tujuan laporan polis dibuat adalah untuk mengelakkan diri daripada didenda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Polis memandang serius terhadap perkara ini melibatkan individu yang tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu ini.

"Tindakan ini hanya membazirkan masa, tenaga pegawai penyiasat dan wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang tidak wujud," katanya.