X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

'Terkejut penjenayah dalam rumah, larikan dua kereta'

Kenderaan milik mangsa yang dilarikan penjenayah ( foto: ihsan keluarga) (Gambar kecil, Hanyan Ramlan)
A
A

KEMAMAN- Seorang jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas terpaksa menanggung kerugian selepas kediamannya di Kampung Meraga Beris, Kijal di sini dipecah masuk, pada Selasa.

Kejadian hanya disedari mangsa, Muhammad Hanif Hasan, 36, sebaik sahaja selesai mandi kira-kira jam 6.30 pagi ternampak kelibat penjenayah yang keluar dari rumahnya sebelum bertindak melarikan dua buah kenderaan miliknya dan isteri.

"Sebelum itu, isteri, Wan Noor Rohayati Wan Razali, 36, bangun kira-kira jam 6 pagi dan melihat pintu rumah kami terbuka. Dia sangkakan saya terlupa menutup pintu rumah kerana saya tidur lewat iaitu sekitar jam 4.30 pagi selepas selesai melakukan beberapa tugasan.

"Ketika itu, kenderaan kami masih ada di ruang parkir dan isteri yang tidak mengesyaki apa-apa terus menutup pintu rumah tanpa mengetahui penjenayah berkenaan berada dalam rumah kami," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Muhammad Hanif berkata, isterinya tergamam dan menjerit apabila ternampak susuk tubuh manusia keluar dari rumah mereka sebelum terdengar bunyi kenderaan dipecut laju.

"Kemudian, kami dapati dua buah kenderaan iaitu jenis Range Rover Evouqe dan Kia Rio serta beberapa barangan berharga termasuk komputer riba, beg tangan, beberapa utas jam dan beg duit dilarikan penjenayah tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian.

"Kini, kami sedang giat memburu penjenayah tersebut yang kita percaya ia dilakukan antara dua hingga tiga orang penjenayah.

"Dalam tempoh dua minggu, terdapat dua kes sama dilaporkan di daerah ini dengan modus operandinya seakan sama iaitu pecah masuk rumah dan melarikan kenderaan," katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!