X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Permintaan hidangan ikan siakap di Langkawi meningkat

Meor Johan menunjukkan siakap segar seberat 800 hingga 900 gram yang ditawarkan di restorannya di Pantai Chenang di sini.
A
A

LANGKAWI - Sejak Pulau Langkawi tular dengan isu 'siakap kayangan' pada awal bulan ini, permintaan juadah ikan siakap didapati meningkat dalam kalangan pelancong luar.

Pengusaha Restoran Bamboo Chenang, Meor Johan Johari berkata, permintaan ikan siakap di kedainya meningkat sekali ganda sejak berita berkenaan tular.

Menurutnya, isu berkenaan secara tidak langsung turut menjadi promosi percuma kepada peniaga di Langkawi yang menyajikan menu terbabit.

"Kalau sebelum ini dalam sehari saya hanya menjual sekitar 30 ekor ikan siakap sahaja, tetapi sekarang Alhamdulillah permintaan telah mencecah 60 ekor sehari.

"Selalunya untuk menu ikan siakap ini, pelanggan lebih gemar ia dimasak tiga rasa atau siakap bakar sambal kerana lebih sesuai untuk dinikmati dengan nasi putih," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Meor Johan berkata, setiap hidangan ikan siakap di restorannya berharga RM50 untuk seberat 800 hingga 900 gram.

"Harga ini bagi saya sangat berbaloi kerana ikan yang kita sediakan ikan segar dan bersaiz besar yang sesuai untuk hidangan lima hingga enam orang.

"Sebab itu, saya hendak tekankan walaupun yang tular itu harganya melebih RM1,000, tetapi sebenarnya di Langkawi ini banyak lagi restoran yang menawarkan harga yang lebih murah, pelanggan hanya perlu bijak memilih," katanya yang pernah menjual ikan siakap siap dimasak seberat tujuh kilogram pada harga RM370.

Berkongsi pengalaman sama, pemilik Kampung Cafe, Norhayati Abdullah, 53, berkata, tempahan hidangan ikan siakap di kafe miliknya turut meningkat pada bulan ini berbanding sebelumnya.

"Pelanggan saya datang dari pelbagai latar belakang dan negeri, selalunya mereka akan menginap di rumah penginapan saya dan turut menempah makanan.

"Menu ikan siakap sekarang memang popular, selalunya mereka akan memesan hidangan siakap stim dan siakap tiga rasa," katanya.

Menurutnya, untuk mengelakkan salah faham di kemudian hari, beliau mengambil langkah memberi penerangan berkaitan harga dan saiz terlebih dahulu ketika tempahan dibuat.

"Tetapi siakap yang saya sediakan bukan 'siakap kayangan', harga yang saya tawarkan antara RM10 hingga RM15 sahaja sekepala termasuk hidangan lain.

"Alhamdulillah, setakat ini semua pelanggan saya berpuas hati dengan harga dan hidangan yang disediakan di kafe saya," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Muhammad Shaharudin, 44, berkata, beliau memilih menikmati menu siakap bakar sambal kerana tertarik dengan harganya yang murah.

"Bagi saya tidak ada isu timbul jika pelanggan bijak buat pilihan, yang penting kalau hendak tempah sesuatu menu itu tengok harga dulu. Jika kena dengan bajet kita baru buat pesanan.

"Hari ini saya makan siakap bakar sambal di tepi Pantai Chenang, harga murah, berbaloi dan sedap. Saya berpuas hati sebab ia menepati selera kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd Azhar Saidan, 36 berkata, ikan siakap di Langkawi tiba-tiba menjadi popular sejak kejadian itu tular.

"Sebenarnya bukan semua restoran jual 'siakap kayangan', bagi saya pelanggan sendiri kena bijak ketika membuat pesanan kerana kebanyakan restoran menjual ikan mengikut gram.

Muhammad Shaharudin (tengah) bersama isteri dan anaknya menikmati hidangan siakap bakar sambal di Pantai Chenang, Langkawi pada Rabu.
Muhammad Shaharudin (tengah) bersama isteri dan anaknya menikmati hidangan siakap bakar sambal di Pantai Chenang, Langkawi pada Rabu.

"Lihat sendiri saiz ikan dan kira harganya terlebih dahulu, jika mampu boleh teruskan pesanan, jika rasa tidak cukup bajet, mereka boleh pilih saiz yang lebih kecil," katanya.

Pada 4 November lalu tular di media sosial perkongsian sekumpulan pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi berkaitan harga ikan siakap berharga RM1,196.80 seberat 7.48 kilogram.

Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM1,759.50 yang seterusnya menjadi topik hangat pelancong di pulau legenda berkenaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!