Polis panggil penganjur himpunan LGBT

Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
A
A
A

ALOR SETAR - Polis akan memanggil penganjur berhubung kehadiran penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan bersempena Hari Wanita Sedunia di Ibu Kota pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan mengenal pasti pihak terlibat dan memanggil mereka untuk mengambil keterangan berkaitan.

Katanya, kertas siasatan berhubung himpunan yang tidak mendapat kebenaran ini telah dibuka dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut selepas siasatan selesai.

"Saya difahamkan himpunan itu tidak mendapat kebenaran, sedangkan sebarang perarakan ataupun himpunan perlu dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah masing-masing.

"Jikalau gagal berbuat sedemikian, maka ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Noor Rashid (duduk, tengah) bergambar bersama Zainuddin (duduk,lima kanan) dan Abd Rahim (duduk, lima kiri) selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah.
Noor Rashid (duduk, tengah) bergambar bersama Zainuddin (duduk,lima kanan) dan Abd Rahim (duduk, lima kiri) selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah.

Menurut beliau, orang ramai perlu memahami bahawa berkumpul secara beramai-ramai seumpama itu akan menjejaskan aktiviti dan pergerakan masyarakat sekitar dan gangguan lalu lintas.

Noor Rashid berkata, orang ramai seharusnya mengikut undang-undang ditetapkan, walaupun mendakwa ada hak membawa isu dalam himpunan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya ada menerima laporan polis berhubung himpunan itu, bagaimanapun keseluruhan jumlah laporan masih belum dipastikan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan himpunan bersempena Hari Wanita Sedunia di ibu kota dicemari kehadiran penyokong LGBT.

Difahamkan, seramai 1,000 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Women Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), aktivis dan pelajar menyertai himpunan itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah menegaskan bahawa himpunan diadakan tidak mendapat kebenaran polis.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengeluarkan permit untuk himpunan itu ekoran notis dikemukakan kepada polis kurang 10 hari dari tarikh dijadualkan iaitu 7 Mac lepas.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah yang baharu antara Datuk Abd Rahim Jaafar dengan Datuk Zainuddin Yaacob di Dewan Tan Sri Khalid, IPK Kedah, di sini.