Timbang semula had umur belia 30 tahun: Prabakaran

P Prabakaran
P Prabakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan menggesa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempertimbangkan semula pengumuman pelaksanaan had umur bawah 30 tahun untuk pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini.

Ketuanya, P Prabakaran berkata, pelaksanaan dasar had umur belia yang dilakukan secara tergesa gesa akan menimbulkan kegusaran pelbagai pihak.

"Oleh itu, perlu ada satu kerangka masa untuk 'soft landing' sebelum pelaksanaan had umur belia bawah 30 tahun dilaksanakan sepenuhnya.

"Saya khuatir ia akan mendatangkan masalah lebih besar apabila tiada persiapan rapi oleh pemegang taruh pertubuhan belia yang akan merencatkan aktiviti-aktiviti mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Isu berkenaan mula tercetus apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada tahun 2019.

Namun, cadangan berkenaan dibantah pelbagai organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya hanya setakat 35 tahun.

Seterusnya, ia tidak dilaksanakan ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun, dalam sidang Parlimen pada Rabu lalu, Ahmad Faizal mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Prabakaran yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu berkata, perlu ada pertimbangan sewajarnya tentang hal ini memandangkan sepanjang tahun 2020 negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan banyak kerja terpaksa ditangguhkan.

Malah, katanya, ketika ekonomi baru dibuka rata-rata rakyat Malaysia bergelut dengan pelbagai perkara tidak kurang juga pertubuhan belia ini yang memerlukan persediaan rapi sebelum pelaksanaan had umur bawah 30 tahun ini.

"Saya menyokong penuh usaha yang dilakukan pihak KBS namun berharap ia mendapat pertimbangan supaya dilaksanakan dengan proses sewajarnya kerana pelaksanaan tergesa-gesa ini menimbulkan kegusaran pelbagai pihak," katanya.