Edar kanabis lebih 700 gram, penghantar makanan dihukum gantung

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar 764.90 gram dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menjatuhkan hukuman itu ke atas Izad Shahizal Pungot, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Kamal berkata, pihak pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap pengedaran dadah, oleh itu mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Izad Shahizal didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah di sini kira-kira 9.30 malam, 16 Januari 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak tahun 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala peguam, Shaik Saleem SM Daud mewakili tertuduh. - Bernama

Artikel Berkaitan: