Kemaraan Manchester United hadiah buat Solskjaer

IMBAS KEMBALI...Dua, kiri, Carrick dan Solskjaer ketika pengendali dari Norway tersebut mengemudi Manchester United dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur di London. FOTO: AFP
IMBAS KEMBALI...Dua, kiri, Carrick dan Solskjaer ketika pengendali dari Norway tersebut mengemudi Manchester United dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur di London. FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Michael Carrick mendedikasikan kemenangan ke atas Villarreal kepada bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer, ketika bekas pemain The Red Devils itu membawa kelab tersebut mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu juga menyaksikan dia menjadi pemain Inggeris pertama memenangi perlawanan pembukaannya sebagai pengendali United dalam tempoh 90 tahun sejak menggantikan Solskjaer yang dipecat pada Ahad lalu.

“Sejujurnya ia bukanlah suatu senario yang mudah buat semua di Manchester United sejak beberapa hari lalu.

“Saya boleh menikmati kejayaan mara ke pusingan seterusnya tetapi tetap, keputusan itu terasa seperti untuk Ole, saya tidak boleh lari daripada itu hakikatnya.

“Malah ia bukan keputusan penting bagi saya, sebaliknya adalah untuk kelab dan pemain kerana malam ini bukan mengenai saya.

“Sudah beberapa hari yang penuh emosi melanda kelab ini. Orang pertama yang saya bercakap apabila semuanya berlaku dan Ed (Woodward) meminta saya melakukan peranan itu ialah Ole untuk melihat pendapatnya mengenainya,” kata Carrick.

Dalam perlawanan di Estadio de la Ceramica itu, dua jaringan lewat perlawanan daripada Cristiano Ronaldo dan Jodan Sancho sudah memadai mengatasi Villarreal 2-0 untuk membawa kelab Inggeris tersebut mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, kemaraan anak buah Carrick turut dibantu ketangkasan bahagian pertahanan diketuai David de Gea yang menggagalkan beberapa percubaan jentera serangan The Yellow Submarine kendalian Unai Emery.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pada masa sama Carrick mengingatkan para pemainnya supaya tidak terlalu bergembira dengan kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik.

Sebaliknya tegasnya, pasukan itu masih perlu melakukan beberapa penambahbaikan berdasarkan perlawanan di laman lawan tersebut.

“Mulanya saya merasakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya berkata sebelum perlawanan yang penting bukan siapa yang memulakannya, tetapi paling pentingnya cara anda menamatkannya dan ia terbukti.

“Biarpun begitu saya masih mempunyai tugas yang belum selesai perlu dilakukan tanpa memikirkannya, perkara yang perlu diuruskan. Apapun saya gembira semuanya berjalan lancar pada akhirnya bermula dengan kemenangan ini,” katanya.

Mengenai gol pertama Sancho untuk kelab, Carrick berkata: “Ia akan memberikan Jadon rangsangan besar. Paling menggembirakan saya ialah usaha yang dia lakukan dalam perlawanan. Ada kalanya dia tidak banyak mendapatkan bola tetapi dia amat mudah melaksanakan tanggungjawabnya.”

Mengenai Ronaldo pula, Carrick berkata: “Tidak banyak lagi yang boleh saya katakan mengenai Cristiano. Ia adalah apa yang dia lakukan dalam perlawanan dan momen besar. Apabila anda memerlukan sesuatu, dia sentiasa ada untuk melakukan penyudahnya.”