X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Aziz Jamman dipanggil polis, MP pembangkang bangkit peraturan mesyuarat

Azis.- Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen pembangkang pada Rabu membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat campur tangan mengenai isu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman pada Selasa berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen.

Perkara itu dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sejurus selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Rabu dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36.10 mengenai isi-isi ucapan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun boleh membuat satu ketetapan mengenai perkara itu dan polis perlu merujuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami tidak faham kenapa hak dan keistimewaan ahli Parlimen semasa berucap di Parlimen sekarang telah diremehkan, malah boleh dianggap dihina oleh siasatan oleh polis yang boleh dianggap sebagai menggertak atau intimidasi (terhadap) ahli Parlimen lebih-lebih lagi pembangkang.

"Ini pula ahli Parlimen berucap dalam Dewan yang mulia ini tak dihalang oleh Speaker dan tak dihalang oleh mana-mana ahli Parlimen. Kami daripada pihak pembangkang ingin membantah tindakan polis kerana ini bererti polis alat untuk menggertak dan mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Peraturan 36.10 menyatakan: Adalah salah pada peraturan menggunakan (a) perkataan-perkataan derhaka kepada negeri; (b) perkataan-perkataan membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan; (c) perkataan-perkataan yang harus menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan satu kaum dalam Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan atau Akta Hasutan 1948.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, sekiranya terdapat sebarang masalah mengenai pernyataan yang dibuat Ahli Parlimen Sepanggar, perkara itu perlu dibangkitkan pihak kerajaan dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen untuk tindakan lanjut.

“Tetapi untuk menghalang dan memberi ugutan kepada ahli Parlimen untuk mengemukakan pandangan yang seperti yang berlaku pada Ahli Parlimen Sepanggar, saya rasa sekali lagi mewujudkan duluan yang sangat bahaya di dewan ini

"Kalau Tan Sri Speaker ambil tafsiran yang keterlaluan mengikut kehendak atau tafsiran polis atau Kementerian Dalam Negeri, ia akan menghalang kebebasan kita (ahli Parlimen) lagi pun Parlimen ada cara dan kaedahnya untuk mengambil mana-mana tindakan kepada ahli Parlimen yang melanggar (peraturan,” katanya.

Azhar ketika menjawab perkara yang dibangkitkan itu berkata, perkara itu berlaku di luar pengetahuannya dan meminta penjelasan Mohd Azis.

“Saya tak tahu sebenarnya, pagi tadi baru saya terbaca sedikit dalam online tapi kurang terang apa yang terjadi itu,” katanya.

Azhar berkata, beliau akan memperhalusi hansard ucapan Ahli Parlimen Sepanggar dan akan berhubung dengan pihak-pihak berkenaaan agar hak berucap ahli Parlimen dapat dipertahankan.

Sementara itu, Mohd Azis ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau terkejut apabila dipanggil oleh polis bagi memberi keterangan mengenai perkara yang diketengahkan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, dalam teks ucapannya, beliau merujuk kepada rungutan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jika kita ingin menyelamatkan Malaysia, laksanakan Perjanjian Malaysia 1963, sebab tanpa Sabah dan Sarawak, tiada Malaysia. Apa yang saya sebutkan dalam ucapan saya itu adalah zahiran daripada apa yang disuarakan rakyat Sabah di negeri Sabah,” katanya.

Pada Selasa, Mohd Azis pada sidang akhbar di bangunan Parlimen berkata, beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

“Saya dimaklumkan perkara ini telah disiasat dan saya tidak tahu sama ada saya akan didakwa ataupun tidak tetapi saya tetap dengan apa yang saya sebutkan di dalam Parlimen,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!