Akademi al-Quran di Kota Iskandar terima pelajar mulai Januari

TOSRIN
TOSRIN
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Akademi al-Quran di Kota Iskandar yang dibangunkan kerajaan Johor dengan peruntukan sebanyak RM300,000 akan memulakan pengambilan pelajar mulai Januari tahun hadapan.

Exco Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, akademi tersebut memberi penekanan khusus kepada pemahaman dan membaca al-Quran dengan lebih baik dengan tenaga pengajar terdiri daripada guru terlatih termasuk qari dan qariah.

Menurutnya, pelajar berusia 12 tahun dan ke atas yang dipilih memasuki akademi ini tetap mengikuti pembelajaran di sekolah agama kerajaan negeri Johor.

"Hanya 40 pelajar sahaja yang akan memasuki akademi ini di mana mereka dipilih di peringkat daerah oleh jawatankuasa kadi dan tiada sebarang yuran dikenakan kepada pelajar.

"Pelajar akan berada di akademi dalam tempoh satu hingga tiga tahun dan diharap mereka mampu menjadi qari serta qariah yang mewakili negeri ke tilawah al- Quran peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini pada Rabu.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, akademi al-Quran ini selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memberikan pendidikan khas tentang al-Quran kepada golongan pelapis.

"Kita tidak mahu mereka buta al-Quran, sebab itu kerajaan negeri mahu akademi ini terus berjalan dan bukan bermusim.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi akademi ini, golongan pelapis yang faham dan membaca al-Quran dengan lancar serta mengikut tajwid mampu dilahirkan seterusnya menjadi qari dan qariah yang akan mewakili negeri," katanya.

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan Johor akan menjadi tuan rumah tilawah al- Quran dan hafazan peringkat kebangsaan pada Jun tahun hadapan.

"Setakat ini, kita masih menunggu perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung lokasi tilawah akan diadakan," katanya.