Tegur penyewa buat bising, tuan rumah cedera kena pukul

Lai Tee (kiri) bersama Bok Koon menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Lai Tee (kiri) bersama Bok Koon menunjukkan laporan polis yang dibuat.
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang warga emas menegur supaya tidak membuat bising menyebabkan dia cedera dipukul dengan besi oleh salah seorang ahli keluarga yang menyewa bilik di rumahnya dalam kejadian di Kampung Baru Pandamaran di sini pada Ahad.

Mangsa, Yap Lai Tee, 71, berkata, kejadian bermula daripada perselisihan faham dengan salah seorang daripada ahli keluarga penyewanya itu.

"Kejadian berlaku lebih kurang jam 11 malam. Masa itu saya tengah bersiap nak tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi bising di bilik belakang.

"Saya pergi melihat apa yang berlaku. Ketika itu keluarga berkenaan sedang bersembang dengan kuat, jadi saya tegur mereka meminta supaya jangan bising," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Lai Tee berkata, keadaan mula tegang apabila salah seorang ahli keluarga penyewanya itu marah kerana berang ditegur.

"Berlaku sedikit perselisihan faham antara saya dengan dia. Dia kemudian mengambil spanar dan terus pukul tangan saya.

"Beberapa kali dia pukul saya. Saya minta dia berhenti pukul sebab sakit, tapi dia semakin agresif menyebabkan saya lari keluar dari rumah untuk minta tolong jiran-jiran," katanya.

Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku beberapa kali perselisihan faham dengan penyewa yang memukulnya itu.

Artikel Berkaitan:

"Dia pernah beberapa kali meninggikan suara dengan saya. Kadang-kadang tak tahu punca dia marah saya.

"Saya pernah minta mereka sekeluarga pindah, tapi mereka merayu dan meminta simpati saya untuk terus menyewa di sini. Tapi bila sudah jadi macam ini, saya sudah tak tahan lagi," katanya.

Selain itu, katanya, keadaan di sekitar rumahnya turut dipenuhi dengan pakaian terpakai dan pelbagai barangan lusuh.

"Mereka (penyewa) memang suka kumpul barang-barang terpakai, beri alasan sebab nak pakai wang. Masalahnya keadaan sekitar rumah saya jadi kotor dan banyak nyamuk.

"Saya ada tegur mereka supaya jangan buat macam itu, kena jaga kebersihan, tapi mereka buat tidak tahu dan tidak peduli dengan teguran saya," katanya.

Sementara itu, Nasib Tai Lee mendapat perhatian Ketua Biro Aduan Awam MCA Bahagian Klang, Datuk Tan Bok Koon yang hadir menziarahinya di sini.

Bok Koon berkata, pihaknya membantu Tai Lee untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

"Saya difahamkan Tai Lee ada membuat laporan polis berkaitan kejadian yang menimpanya dan saya berharap agar kes ini diambil tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

"Saya juga memantau keadaan mangsa dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Suspek dipercayai berumur lingkungan 20-an. Usaha mengesan suspek yang terlibat memukul mangsa sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," ujar beliau.