Selangor disaran utama pembangunan produk pelancongan

Sidang DUN Selangor
Sidang DUN Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Pemain industri pelancongan mengharapkan agar kerajaan negeri dapat memberi keutamaan terhadap pembangunan produk-produk pelancongan menerusi Belanjawan Selangor 2022, pada Jumaat ini.

Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA), Dr Fathir Badri Alhadad berkata, peruntukan bagi tujuan itu adalah sangat diperlukan berbanding hanya memberi penekanan terhadap aspek promosi pelancongan semata-mata.

Fathir berkata, langkah itu juga wajar bagi memastikan produk-produk pelancongan sedia ada kembali mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

"Penambahan produk pelancongan baharu juga sangat diperlukan bagi menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa untuk terus ke Selangor.

"Langkah ini juga selaras dengan kempen 'Nak Melancong, Pusing Selangor Dulu' yang diusahakan kerajaan negeri," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Dalam pada itu, Pengurus Homestay Hj Dorani, Mohd Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya mengharapkan agar Belanjawan Selangor 2021 kali ini dapat memberi fokus dalam memperhebatkan kempen kesedaran di negeri ini bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung untuk melancong secara berkumpulan.

Katanya, buat masa ini, kebanyakan pengunjung yang hadir ke inap desa miliknya itu hanya terdiri daripada golongan keluarga sahaja dan tidak sama seperti sebelum ini.

"Sebab itu kita harapkan agar kerajaan negeri dapat hebatkan lagi kempen kesedaran agar pelancong tidak merasa takut dan menjalankan aktiviti secara berkumpulan di Selangor khususnya di inap desa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor, Gopalan Mariappan berkata, sektor pelancongan telah banyak terjejas sebelum ini selepas industri berkenaan terpaksa ditutup ekoran ancaman pandemik Covid-19.

Berikutan itu, beliau berkata, Belanjawan Selangor 2022 perlu memberi penumpuan terhadap industri pelancongan dalam memberi nafas baharu buat sektor itu sewaktu fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

"Negara sedang dalam fasa pemulihan dan sektor pelancongan mengharapkan sokongan daripada setiap pihak termasuk kerajaan negeri untuk bangkit semula," katanya.