UniMAP tawar tempat kepada 9,000 calon program PSH

Zaliman (tiga dari kiri) dan Mohd Zabri (tiga dari kanan) pada Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Program Profesional UniMAP dan Dana Skim Pinjaman TVET (Pekerja) PTPK di Putrajaya pada Selasa.
Zaliman (tiga dari kiri) dan Mohd Zabri (tiga dari kanan) pada Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Program Profesional UniMAP dan Dana Skim Pinjaman TVET (Pekerja) PTPK di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menawarkan tempat kepada 9,000 calon program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) bukan formal daripada pelbagai tahap pengajian meliputi diploma, sarjana muda dan sarjana.

Tawaran oleh Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) UniMAP itu adalah melalui peruntukan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi tempoh pengajian lima tahun berbentuk upskilling dalam bidang pembinaan dan pengurusan fasiliti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya sangat menitikberatkan PSH menerusi lonjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Beliau berkata, ia berikutan PSH berperanan besar dalam menggilap kemampuan dan pencapaian individu atau komuniti, selain memperoleh pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau bukan formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.

“Bagaimanapun, agenda Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bukan terletak di bawah KPT semata-mata, sebaliknya merupakan peranan bersama KPT dan KSM.

“Justeru, majlis pada hari ini adalah salah satu contoh kerjasama KPT dan KSM dalam memastikan agenda TVET negara berjalan dengan lancar,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Profesional UniMAP dan Dana Skim Pinjaman TVET (Pekerja) di bawah PTPK dan KSM di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusof.

Sementara itu, Noraini berkata, calon yang berjaya mengikuti program tersebut akan memperoleh sijil daripada UniMAP, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil kompetensi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Artikel Berkaitan:

“Berpandukan aplikasi pendigitalan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), program profesional UniMAP dengan kerjasama rakan pintar sebelum ini telah dilaksanakan sepenuhnya dalam talian menerusi mod synchronous and asynchronous melalui platform Learning Management System (LMS).

“Melalui pendekatan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) dan secara mod separa masa, calon-calon tidak perlu berhenti bekerja untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Zaliman Sauli berkata, pihaknya akan terus memartabatkan semua program yang ditawarkan di UniMAP serta program baharu yang dituntut keperluannya oleh industri, dengan mengekalkan 30 peratus program berfokus kepada kejuruteraan serta 70 peratus kepada program teknologi kejuruteraan dan teknologi.

Zaliman
Zaliman

Sehingga hari ini, katanya, daripada 42 program yang ditawarkan pada peringkat diploma dan sarjana muda, sebanyak 26 program ialah program TVET membabitkan 61.9 peratus.

“Justeru, Pusat Pengurusan Akademik (AMC) UniMAP akan mempercepatkan usaha untuk memastikan sasaran 70 peratus program TVET di UniMAP tercapai.

“Selain itu, kita juga akan terus memelihara kualiti program melalui pemerolehan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa.

“Ini akan memperkayakan lagi pengalaman pelajar kami,” kata Zaliman.