Tuchel akui prestasi Chelsea luar biasa

Chalobah meletakkan Chelsea di depan ketika melayan kunjungan Juventus di London.
Chalobah meletakkan Chelsea di depan ketika melayan kunjungan Juventus di London.
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan penyandang juara itu kini lebih bersedia bersaing di fasa seterusnya saingan Liga Juara-Juara selepas membelasah gergasi Serie A, Juventus 4-0 dalam perlawanan Kumpulan H di Stamford Bridge.

Malah menurut Tuchel, kejayaan The Blues mengatasi The Old Lady di London menebus kembali kekalahan 0-1 kepada lawan sama semasa perlawanan pusingan pertama di Turin sebelum ini.

Jelas bekas pengendali Paris St Germain (PSG) dan Borussia Dortmund itu, tiga mata dari London tersebut juga menjadi motivasi menjelang perlawanan terakhir menentang Zenit St Petersburg di laman lawan bulan depan

“Prestasi yang sangat baik, kami mahu terus bersabar tetapi tidak tertidur. Kami mahu kedua-dua perkara, bersabar tetapi meningkatkan intensiti dalam permainan dalam setiap perlawanan.

"Malah para pemain melakukannya dengan sangat baik, kami menjaringkan begitu banyak gol dan mencipta begitu banyak peluang dalam perlawanan ini. Pujian penuh kepada semua pemain-pemain. Prestasi yang menakjubkan dari hasil yang hebat," katanya.

Dalam perlawanan itu, Chelsea terlebih dulu di depan menerusi jaringan Trevoh Chalobah pada minit ke-25' untuk mendahului babak pertama.

Bersambung babak kedua, Reece James melebarkan kedudukan tuan rumah menerusi gol minit ke-55' diikuti jaringan Callum Hudson-Odoi (58') sebelum tonggak sensasi The Blues, Timo Werner yang dimasukan separuh masa kedua menoktahkan kemenangan 4-0 dengan gol minit ke-95'.

Tiga mata itu membolehkan Chelsea mendahului kumpulan dengan 12 mata diikuti rapat Juventus yang memiliki jumlah mata sama, namun dipisahkan jumlah jaringan manakala Zenit ketiga (empat mata) dan Malmo (satu mata).

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Tuchel menjelaskan kemenangan besar itu juga hadir selepas para pemain mula melupakan kekalahan tipis kepada anak buah Massimiliano Allegri pada 30 September lalu.

Tegasnya, dalam aksi di Turin sebelum ini para pemain Chelsea seolah-olah menyerah berbanding pada perlawanan pusingan kedua di London.

"Ia adalah tingkah laku yang berbeza daripada para pemain. Kami lebih tajam, lebih tegas dan mengambil lebih banyak risiko di kawasan yang perlu. Itu meningkatkan rentak dan intensiti perlawanan ini.

"Kami kekurangan itu di Turin. Kami mempunyai kawalan tetapi tidak mengancam mereka. Keputusan di London ini adalah gabungan antara kesabaran dan pecutan dalam permainan. Ia bagus, kami menjaringkan gol yang bagus," katanya.

Untuk perlawanan seterusnya, Chelsea akan menerima kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di London pada awal tengah malam Isnin.