'Terharu, pertama kali naik kereta api'

Aziana diraikan KTMB yang merealisasikan impian remaja itu menaiki kereta api di Sungai Petani pada Rabu.
Aziana diraikan KTMB yang merealisasikan impian remaja itu menaiki kereta api di Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hasrat seorang remaja wanita yang lumpuh untuk menaiki kereta api akhirnya direalisasikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Rabu.

Aziana Shaari, 17, terharu apabila buat pertama kali merasai pengalaman menaiki kereta api sepanjang hidupnya.

Sejak kecil Aziana berminat melihat kereta api yang melalui landasan berhampiran rumahnya dan memasang impian untuk menaiki kenderaan tersebut.

"Setiap kali kereta api lalu, mesti dengar dan nampak tetapi belum pernah naik. Ini kali pertama dibawa naik, rasa seronok sangat," katanya ketika dibawa menaiki kereta api berkenaan dari Sungai Petani ke Stesen Butterworth, Pulau Pinang.

Ibu Aziana, Fatimah Hashim, 50, berkata, dia terharu dan bersyukur kerana KTMB menunaikan hasrat anaknya yang terlantar sejak lapan tahun lalu.

"Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan gembira. Pagi-pagi lagi Aziana sudah siap tak sabar untuk menaiki kereta api.

"Sebelum ini, setiap kali Aziana nak tengok kereta api, saya akan tolak dia ke luar rumah. Tapi hari ini dia dapat naik. Alhamdulillah," katanya yang begitu seronok melihat anaknya gembira.

Sementara itu, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya menyediakan sebuah tren khas KTMB Komuter dari Sungai Petani ke Stesen Butterworth, sebelum singgah sebentar ke kawasan perkampungan Aziana di Kampung Bakar Bata di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif itu sebagai memenuhi impian remaja terbabit yang tinggal berdekatan laluan kereta api kerana sering melihat kenderaan berkenaan dari rumah.

"Perjalanan menggunakan tren khas bergerak pada jam 9 pagi hari ini turut diiringi dua orang kakitangan paramedik khusus mengiringi Aziana bagi memantau tahap kesihatan, menyediakan 'stretcher' dan perkhidmatan ambulans ulang alik dari rumah ke stesen KTMB.

"Perjalanan turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot KTM, Komi dan maskot ETS, Kapten EJ

yang diharap dapat menceriakan remaja berkenaan serta ibunya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah Aziana yang lumpuh selepas dihempap dinding konkrit akibat runtuhan di belakang rumahnya dekat Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal.

Selain terlantar, Aziana Shaari turut menghadapi masalah pendengaran dan perlu menerima hakikat paru-paru, buah pinggang serta pundi kencingnya mengalami kerosakan.