Johor nafi 7,301 pelajar berhenti sekolah

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Kerajaan negeri Johor menafikan seramai 7,301 murid dan pelajar sekolah di negeri ini berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, angka berkenaan tidak tepat memandangkan jumlah yang sebelum ini direkodkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor ( JPNJ) tidak melebihi 600 murid dan pelajar yang berhenti sekolah sebelum Covid-19 menular.

"Berdasarkan rekod juga, murid dan pelajar ini berhenti sekolah disebabkan gejala sosial dan masalah keluarga.

"Kementerian Pendidikan mempunyai polisi khas sebelum pelajar berhenti sekolah iaitu diberi kaunseling dahulu, keduanya diberi amaran jika masih berdegil dan jika ia tidak berkesan, barulah pelajar akan diberhentikan.

"Di Johor, kita menggunakan pendekatan diplomasi serta tidak mengambil tindakan keras dalam menangani isu pelajar mahupun guru yang enggan divaksin. Kita tidak mahu mengambil tindakan menghukum, sebaliknya menggunakan kaedah memujuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini pada Rabu.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, bagi membantu murid dan guru mengejar semula silibus pembelajaran yang tertinggal berikutan penutupan sekolah akibat Covid-19, JPNJ menyediakan portal Gerbang Pembelajaran Digital.

"Menerusi Gerbang Pembelajaran Digital ini, sekolah akan membuat simulasi ujian mendengar dan ujian bertutur bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta Ujian Amali Sains untuk membantu murid memperoleh kefahaman dan kemahiran sepatutnya bagi mengatasi masalah ketinggalan silibus pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

"JPNJ melalui Sektor Pembelajaran membimbing Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk melaksanakan 'Catch Up Plan' berdasarkan kemahiran asas pelajar Tingkatan Lima mulai awal tahun 2022 supaya silibus pembelajaran yang tertinggal dapat diselesaikan," jelas beliau.