Bunuh CEO Cradle Fund: Kes disebut di Mahkamah Tinggi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan akan disebut di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, hari ini.

Kes akan didengari di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pengakuan isteri Nazrin, Samirah Muzzafar akan direkodkan pada prosiding tersebut.

"Iya, pertuduhan akan dibacakan semula dan pengakuan akan diambil," katanya.

Selain Samirah, 44, dua tertuduh kanak-kanak yang masing-masing berusia 13 dan 16 tahun turut direkodkan pengakuan di mahkamah sama hari ini.

Terdahulu, semakan mendapati kes berkenaan dipaparkan di sistem e-filing mahkamah.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 4 Mac lalu, mereka dan seorang lagi masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa telah mencapai niat bersama- sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian Nazrin.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Damansara, dekat sini, jam 11.30 malam pada 13 Jun dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Nazrin, 48, pada mulanya dilaporkan dilaporkan maut akibat letupan telefon bimbit yang sedang dicas berdekatan katilnya yang menyebabkannya terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur tingkat atas rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak didakwa bunuh CEO Cradle Fund

Polis kemudiannya mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 selepas hasil siasatan pihak forensik bomba mendapati ada kesan petrol di bahagian kepala katil, tilam serta telefon bimbit yang dipercayai punca kebakaran merebak cepat sehingga mengorbankan mangsa.

Samira dan bekas suaminya ditahan pada 4 Ogos bagi membantu siasatan itu manakala dua kanak-kanak ditahan pada 8 September.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes CEO Cradle Fund: Polis terima laporan bedah siasat kedua

Pada 23 September pula, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan adik kepada isteri Nazrin bersama suaminya yang berusia 41 tahun di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail pada pukul 10.20 malam.

Pada 8 Oktober, kubur Nazrin digali semula bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan dan dikemukakan semula selepas lapan hari.