Barcelona mampu tewaskan Bayern Munich di Allianz Arena

Yusuf Demir antara pemain Barcelona yang menyerlah dalam perlawanan di Camp Nou tersebut.
Yusuf Demir antara pemain Barcelona yang menyerlah dalam perlawanan di Camp Nou tersebut.
A
A
A

XAVI Hernandez optimis Barcelona mampu menewaskan Bayern Munich dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara selepas sekadar melakar keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Benfica di Camp Nou.

Malah menurut Xavi, keyakinan itu hadir setelah menyaksikan Blaugrana kendaliannya berjaya menyaingi kelab Portugal tersebut selepas mengendali perlawanan pertama Barcelona di pentas kompetetif kelab Eropah buat pertama kali.

“Apa yang paling membuatkan saya optimis untuk perlawanan di Jerman seterusnya selepas melihat cara Blaugrana bermain menentang Benfica.

"Bermain seperti ini kami boleh bersaing dengan sesiapa sahaja. Melihat apa yang saya lihat (menentang Benfica), kami boleh pergi ke Munich dan menang. Berita positifnya ialah nasib kami dalam saingan Liga Juara-Juara masih bergantung kepada diri sendiri.

"Sejujurnya, kami merupakan pasukan yang semakin lebih baik apabila mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini," kata Xavi.

Bekas pemain Barcelona itu sebelum ini melakukan penampilan pertama sebagai pengurus kelab itu di saingan La Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol hujung minggu lalu.

Untuk rekod, Barca perlu menang di Allianz Arena pada 8 Disember untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 terakhir jika Benfica memperoleh tiga mata di Lisbon menentang Dynamo Kiev, yang sudah dijamin menduduki tempat tercorot Kumpulan E.

Dua pertemuan terakhir Barca dan Bayern berakhir dengan keputusan 8-2 dan 3-0, memihak kepada kelab Jerman itu, tetapi Xavi berkata, dia sudah cukup melihat dalam dua perlawanan sejak menggantikan Ronald Koeman untuk percaya kemenangan di Munich adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah perlawanan yang bagus. Jika kami menjaringkan satu gol, ia akan menjadi perlawanan hebat. Pada akhirnya, ia adalah satu mata yang dirasakan kurang.

"Bersikap positif, saya percaya kami akan tampil bermain dengan lebih baik. Motivasi para pemain semakin meningkat. Kami hanya kekurangan gol itu. Ini adalah Barca yang kami mahukan tetapi kami mesti lebih klinikal.

"Kami perlu memulihkan keyakinan para pemain yang menjaringkan gol. Saya bukan hanya bercakap mengenai penyerang, tetapi juga pemain tengah yang datang dari dalam," katanya.

Untuk rekod, Bayern mengesahkan tempat teratas dalam kumpulan apabila mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan selepas menewaskan Kiev 2-0.

Sementara itu, Barca pula di tempat kedua dengan tujuh mata manakala Benfica di tempat ketiga dengan lima mata.

Barca sebelum itu berpeluang menempah slot ke pusingan seterusnya sekiranya melakar kemenangan ke atas Benfica, namun gagal memanfaatkan sepenuhnya penguasaan dalam aksi menghiburkan di Camp Nou.

Tuan rumah ternyata garang bermula dengan percubaan Yusuf Demir terkena palang, gol Ronald Araujo diketepikan kerana ofsaid, tandukan Frenkie de Jong diselamatkan dan Memphis Depay mensia-siakan dua peluang terbaik yang mengakhiri misi tiga mata anak buah Xavi