Tiada saliran parit, berpuluh tahun penduduk hadapi banjir air kotor

Penduduk sudah buntu memikirkan masalah air bertakung yang tiada aliran dan saliran parit sehingga digenangi air selama berminggu-minggu. - Foto Astro Awani
Penduduk sudah buntu memikirkan masalah air bertakung yang tiada aliran dan saliran parit sehingga digenangi air selama berminggu-minggu. - Foto Astro Awani
A
A
A

RANTAU PANJANG - Hampir 30 tahun sebahagian penduduk di Jalan Sekolah Cina, Rantau Panjang bertemankan banjir air kotor setiap kali hujan turun akibat tiada saliran air yang sempurna.

Bahkan adakalanya mengundang bahaya dengan kehadiran haiwan berbisa yang menumpang di dalam rumah.

Sebanyak 10 keluarga di jalan berkenaan sudah buntu memikirkan masalah air bertakung yang tiada aliran dan saliran parit sehingga digenangi air selama berminggu minggu.

"Masalah perparitan dan sampah menyebabkan air bertakung di kediaman penduduk di Lorong Sekolah Cina

"Isu ini sudah berlarutan selama 30 tahun, kami terpaksa duduk dalam keadaan begini setiap kali hujan lebat turun.

"Air akan naik sehingga paras lutut. Bukan nyamuk sahaja, ular pun ada menyorok dalam bilik stor," kata Nor Amin Syafiq Ismail.

Bagi Muhamad Zailani Che Awang pula, dia menggesa pihak berkenaan segera membina longkang baharu bagi atasi masalah dihadapi penduduk ini.

"Sistem perparitan kita tidak berfungsi. Apabila hujan selama dua atau tiga hari, air akan bertakung dengan sistem parit sedia kala.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta pihak bertanggungjawab untuk membina longkang baharu kalau boleh, ambil cakna masyarakat di bandar Rantau Panjang ini.

"Air tidak dapat mengalir ke sungai dan kami hanya 100 meter dari Sungai Golok," katanya.

Mereka mendakwa permasalahan ini pernah diajukan kepada pihak berkaitan namun sepi sampai ke hari ini.

Bukan sahaja menyulitkan kehidupan penduduk, air yang bertakung itu juga mengundang pembiakan nyamuk aedes.

Mereka memohon pihak berkuasa tempatan membantu menyelesaikan masalah air bertakung dan parit di kawasan berkenaan. - Awani