X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Kerajaan teruskan kempen berimpak tinggi

Ismail Sabri menyerahkan anugerah kepada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Ameer Ali Mydin (kanan) pada Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneruskan kempen berimpak tinggi seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan memperhebatkan Program Jualan Malaysia (PJM) pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KBBM sudah mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik, manakala PJM pula mencatatkan prestasi seperti yang disasarkan.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu sahaja, KBBM mencatatkan nilai jualan mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.87 bilion pada 2019.

“PJM pula mencatatkan prestasi seperti disasarkan dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun 2020, sudah berjaya dicapai dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM135.9 bilion," katanya ketika merasmikan Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, pada malam Selasa.

Program itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui KPDNHEP juga sentiasa menggerakkan jentera pemulihan ekonomi domestik menerusi inisiatif-inisiatif berimpak tinggi bagi merancakkan lagi perkembangan sektor perdagangan pengedaran.

“Salah satu langkah bagi menyokong pemulihan dan pemerkasaan semula sektor perdagangan dalam negeri ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan pengedaran,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, melalui Program Imunisasi Sektor Peruncitan (RiVAC) yang dilaksanakan KPDNHEP, hampir 56,000 pekerja di sektor peruncitan telah mendapat vaksinasi lengkap di seluruh negara melalui kerjasama awam dan swasta.

Kata Perdana Menteri, ia secara langsung memberi jaminan perlindungan kepada pekerja di sektor peruncitan dan membantu merancakkan pemulihan ekonomi negara.

“Kerajaan percaya, pencapaian-pencapaian ini adalah hasil kerjasama baik di antara semua pihak. Persepakatan seperti inilah saya mahu terapkan kepada semua pihak yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’,” ujar beliau.

APDN 2020 melibatkan sebanyak 25 kategori anugerah, meliputi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak.

Di majlis ini Sinar Harian berjaya memenangi Anugerah Khas Media sempena Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020, bagi media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosi aktiviti dan berita perdagangan dalam negeri.

Lima penerima anugerah utama ialah Fatihah Frozen Food Sdn Bhd bagi kategori produk terbaik, Mydin Mohamed Holdings Berhad yang memenangi penyertaan terbaik kategori Kempen Beli Barangan Malaysia dan Ecart Services Malaysia Sdn Bhd (Lazada Malaysia) sebagai Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik.

Selain itu, Global Art & Creative Sdn Bhd menjadi pemenang Francais Terbaik (Dalam Negara), manakala Shell Malaysia Trading Sdn Bhd diiktiraf sebagai Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!