X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Kempen #KitaJagaJalanKita inisitif KKR jaga jalan raya

Fadillah ketika memberi ucapan semasa pelancaran kempen #KitaJagaJalanKita yang diadakan secara maya di Facebook KKR pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan kempen #KitaJagaJalanKita yang bertujuan memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya di seluruh negara.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kempen itu akan melibatkan penjagaan seluruh kawasan jalan raya meliputi infrastruktur sekitar seperti longkang jalan, pembentung, papan tanda, lampu jalan, lampu isyarat, penghadang jalan dan perabot jalan.

Beliau berkata, usaha penjagaan infrastruktur tersebut yang juga merupakan aset penting awam itu sangat memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya masyarakat awam di Malaysia.

Ini kerana sebarang perbuatan vandalisme terhadap infrastruktur berkenaan berpotensi besar untuk menyebabkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Perasaan ‘sense of belonging’ atau ‘ownership’ kepada infrastruktur awam seperti jalan raya dan prasarana awam perlu disematkan di setiap jiwa rakyat Malaysia.

“Sikap dan ’mindset’ kita sendiri sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama prihatin dalam menjaga infrastruktur awam negara perlu diterapkan seawal usia yang mungkin.

“Peranan kita walaupun sedikit tentunya akan memberi impak yang signifikan,” katanya ketika majlis pelancaran kempen #KitaJagaJalanKita yang disiarkan secara langsung di Facebook KKR pada Selasa.

Impak besar

Masyarakat Malaysia boleh memulakan langkah penjagaan dengan mendidik anak-anak supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat termasuk di jalan raya.

Menurut Fadillah, ini kerana sampah-sarap yang dibuang di jalan raya boleh menyebabkan saluran perparitan tersumbat sekali gus mengakibatkan berlakunya banjir kilat berpunca daripada halangan aliran air di permukaan jalan tersebut.

“Lebih memburukkan keadaan, situasi ini akan merosakkan struktur jalan memandangkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Oleh itu, untuk jangka masa panjang, ia akan mengakibatkan hakisan dan kerosakan jalan.

“Pada masa sama, keadaan ini juga boleh mengakibatkan pembentukan ‘water ponding area’ di permukaan jalan yang bakal mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

Situasi tersebut menurutnya akan menyebabkan pengguna jalan raya mengalami kesukaran untuk mengawal kenderaan ketika melalui jalan tersebut disebabkan kurangnya geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan yang seterusnya berpotensi mengakibatkan kemalangan.

Mengulas lanjut katanya, walaupun setiap jalan di dalam negara direka bentuk untuk digunakan sehingga 10 tahun, namun terdapat beberapa faktor yang boleh memendekkan jangka hayatnya.

Keadaan ini berpunca daripada kenderaan lebih muatan yang melalui sesebuah jalan dan kerja penampalan jalan yang tidak sempurna selepas kerja pengorekan oleh syarikat utiliti.

“Aktiviti ini merupakan antara punca kerosakan pada turapan jalan berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Masalah ini akan kerap berulang sekiranya kurang kesedaran daripada pelbagai pihak.

“Dengan adanya Kempen #KitaJagaJalanKita, saya percaya ia boleh membantu pihak kementerian untuk membangkitkan kesedaran kepada semua pihak supaya mematuhi segala garis panduan atau peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Fadillah berkata, sepanjang kempen terbabit, kementeriannya akan menyiarkan perkongsian infografik yang berkaitan dengan jalan raya, tata cara kerja penyelenggaraan jalan raya dan maklumat bermanfaat lain untuk makluman orang awam.

Kata beliau, perkongsian ilmu itu akan disiarkan melalui laman sosial rasmi kementerian dan JKR serta medium lain yang bersesuaian.

Antara objektif utama kempen tersebut adalah memberi pendedahan kepada orang awam tentang jenis jalan raya di Malaysia dan menggalakkan mereka melaporkan aduan kerosakan jalan melalui saluran yang betul.

JKR Malaysia bertanggungjawab untuk menyelenggara Jalan Raya Persekutuan di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
JKR Malaysia bertanggungjawab untuk menyelenggara Jalan Raya Persekutuan di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Buat aduan

Meskipun mengakui masih terdapat kerosakan dan kecacatan di sebahagian jalan raya di seluruh negara, namun Fadillah berkata, kementeriannya sangat komited untuk memastikan jalan raya berada dalam keadaan terbaik.

Menurutnya, pada tahun 2020, sebanyak 1,100 aduan melibatkan Jalan Raya Persekutuan diterima dan telah diambil tindakan oleh KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, usaha bagi memulih atau memutihkan lokasi jalan raya yang sering berlakunya kerosakan sentiasa menjadi agenda utama kementeriannya melalui JKR sebagai agensi pelaksana.

“Oleh itu, saya ingin mengajak orang awam untuk menyalurkan aduan melalui saluran aduan rasmi utama iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKR dan SISPAA JKR.

“Bagaimanapun, aduan dari saluran yang lain akan tetap diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

“Setiap aduan anda amatlah berguna sebagai usaha menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan Kementerian Kerja Raya dan agensi demi kesejahteraan Rakyat,” ujar beliau.

Kementerian Kerja Raya melalui JKR bertanggungjawab untuk menyelenggara Jalan Raya Persekutuan di Semenanjung Malaysia yang memiliki kepanjangan 14,857.86 kilometer tidak termasuk lebuh raya bertol.

Sementara di Labuan, Sabah dan Sarawak, JKR bertanggungjawab untuk menyelenggara Jalan Persekutuan sepanjang 3,138.16 kilometer.

Fadillah berkata, walaupun negara masih lagi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara, kerja penyelenggaraan Jalan Raya Persekutuan dan Jalan Raya Negeri sentiasa dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, kesemua kerja tersebut dijalankan dengan sebaik-baiknya oleh syarikat konsesi di seluruh negara dengan pengauditan dan pemantauan berterusan oleh JKR.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!