Taska wajib tolak kanak-kanak ada masalah kesihatan: JKM Perak

Ruhaini bersama Pegawai Penguat kuasa JKM Perak, Noor Hanizah Zulkfli menunjukkan notis penutupan sementara yang dibuat di sebuah taska.
Ruhaini bersama Pegawai Penguat kuasa JKM Perak, Noor Hanizah Zulkfli menunjukkan notis penutupan sementara yang dibuat di sebuah taska.
A
A
A

IPOH - Pengusaha pusat asuhan kanak-kanak (Taska) wajib menolak kehadiran anak jagaan mereka jika kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, perkara itu tidak menjadi kesalahan untuk mengelak berlakunya kes-kes tidak diingini termasuk kematian di pusat jagaan.

Menurutnya, dalam Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 turut memperuntukkan setiap pengusaha boleh pada bila-bila masa enggan menerima masuk mana-mana kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit sehinggalah diperakui sihat oleh pegawai perubatan.

"Ini yang perlu kita beri penekanan terutama bagi penyakit berjangkit seperti demam, selesema, penyakit kulit dan chicken pox kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Dalam hal ini, ibu bapa harus memastikan anak-anak dalam keadaan sihat ketika diserahkan kepada penjaga," katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya, perkara ini harus diberi penekanan agar tidak wujud ada elemen saling menyalahkan bila berlaku sesuatu kes.

Ruhaini ditemui selepas mengadakan pemeriksaan ke sebuah taska di Bandar Seri Botani susulan kematian seorang bayi lelaki berusia 4 bulan, Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Taska diarah tutup sementara

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Paru-paru berair punca kematian bayi 4 bulan

Bayi itu disahkan meninggal dunia selepas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika diambil oleh ibu bapanya daripada taska berkenaan.

Polis memaklumkan punca kematian mangsa, Muhamad Akif Iskandar Meor Ikram adalah disebabkan masalah paru-paru berair.

Ruhaini berkata, dalam kes berkenaan, pengusaha memberitahu mereka tidak dimaklumkan keadaan kesihatan sebenar bayi itu.

"Semasa diserahkan, mereka menjangkakan keadaan kesihatan bayi adalah baik memandangkan tiada apa-apa maklumat diberikan, mungkin berlaku salah faham," katanya.

Jelasnya, hasil siasatan JKM juga mendapati, tiada sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan dalam menjaga kanak-kanak terbabit.

"Pengusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan termasuklah aspek bilangan penjaga dan kanak-kanak yang diterima.

"Sebab kematian mangsa telah disahkan dan ia bukan disebabkan elemen penderaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ruhaini berkata, pemeriksaan dilakukan hari ini adalah untuk memastikan taska terbabit tidak beroperasi berikutan perakuan pendaftaran yang telah tamat tempoh, Januari lalu.

"Kita dapati kelewatan memperbaharui perakuan ini bukan disengajakan kerana mereka dalam proses untuk melengkapkan dokumen diperlukan.

"Buat masa ini, taska ini tidak dibenarkan beroperasi sehingga mendapat perakuan pendaftaran baru daripada JKM," katanya.