Pemaju perlu bina rumah mampu milik, bukan mampu tengok

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PEMAJU perumahan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik di negara ini daripada membina rumah yang ‘mampu tengok’.

Ini kerana, jika dilihat kepada harga rumah yang dibina dan dijual, rata-rata mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah tidak mampu membeli rumah yang ditawarkan di pasaran.

Kebanyakan daripada pengguna hanya mampu melihat sahaja dengan angan-angan untuk memiliki rumah mereka sendiri tetapi yang mereka mampu hanyalah menyewa berikutan taraf hidup semakin meningkat.

Selain membina lebih banyak rumah mampu milik, pemaju juga perlu memastikan pembinaan projek perumahan dibangunkan di lokasi strategik.

Pembinaan seharusnya memudahkan akses dari segi kemudahan awam seperti khidmat pengangkutan awam, sekolah, klinik, hospital dan pasar raya selain kemudahan parkir kenderaan yang mencukupi di kawasan perumahan dibina.

Jika perkara-perkara seperti itu tidak dipertimbangkan, sudah tentu terjadinya banyak unit rumah yang dibina tidak terjual.

Pembinaan rumah yang tidak terjual juga memberikan kesan besar kepada pemaju dan sekiranya ia tidak terjual dalam tempoh yang disasarkan, pemaju disaran untuk menawarkan diskaun terhadap rumah-rumah terbabit.

Jika melihat kepada statistik, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku ketiga tahun ini dengan nilai RM19.75 bilion.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 31,112 unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku kedua yang bernilai RM20.1 bilion.

Ismail turut menyatakan bahawa Kuala Lumpur merupakan negeri tertinggi yang merekodkan rumah siap dibina tidak terjual iaitu sebanyak 3,683.

Tambahnya, antara punca lambakan rumah tidak terjual itu berlaku ekoran daripada penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, lokasi yang kurang menarik dan sebagainya.

Pada masa sama katanya, transaksi pembelian rumah sedia ada secara subsale juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual.

Disebabkan itu, pemaju perlu memikirkan perkara-perkara ini agar rumah-rumah yang dibina itu dapat dijual seterusnya rumah tidak terjual itu dapat dielakkan.