Dakwah seorang pembantu rumah

A
A
A

DAKWAH yang berasal daripada perkataan Arab bermaksud menyeru atau mengajak. Kebiasaannya, ia bermaksud galakan atau seruan ke jalan ALLAH supaya manusia menerima dan menghayati ajaran Islam.

Manakala uslub dakwah bermaksud ilmu tentang cara berdakwah dengan menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik golongan yang diseru kepada ajaran Islam.

Tugas berdakwah telah dimulakan oleh Rasulullah SAW dan diteruskan oleh umat Islam sehingga kini. Lebih dua tahun yang lepas, sahabat saya, Xifu Naser, mengkritik masyarakat kita yang terlalu mengagungkan pendakwah selebriti dan meminggirkan pendakwah tanpa nama dan gambar melalui artikelnya di akhbar Sinar Harian. Pelbagai komen yang kasar dihamburkan pada laman Facebook Sinar Harian dek artikel itu. Ramai yang marahkan beliau.

Xifu Naser adalah seorang pemikir kritis yang mampu menganalisis pelbagai isu daripada sudut yang berbeza, tidak hanya tertumpu kepada sama ada gelas itu separuh penuh atau separuh kosong.

Kebanyakan kritikan beliau adalah berkaitan manhaj atau ideologi, bukannya mengkritik individu secara peribadi. Namun, masyarakat Malaysia agak sensitif bila dikritik. Ramai yang gopoh untuk memberikan tindak balas tanpa memikirkan dan mencerna apa yang dibaca terlebih dahulu.

Berbalik kepada hal berkenaan pendakwah tanpa nama dan gambar, saya tertarik untuk berkongsi kisah pengislaman seorang wanita Cina yang berumur 74 tahun dua bulan yang lepas. Apabila diselidiki, rupa-rupanya pendakwah yang menunjukkan keindahan Islam sehingga beliau memeluk Islam adalah pembantu rumahnya sendiri.

Saadiah (bukan nama sebenar) sudah lama bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Dia bekerja dengan keluarga Teo sejak tahun 1998 lagi bagi menjaga ibu mak cik Teo yang sudah tua ketika itu. Sebelum itu, dia pernah bekerja dengan beberapa majikan bukan Islam yang lain dan pernah dihalang untuk bersolat serta berpuasa. Pelbagai dugaan pernah dilaluinya tetapi Saadiah tetap bekerja dengan jujur walaupun ditindas oleh majikannya.

Bagi Saadiah, walaupun tidak dilayan dengan baik, tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja harus dijaga, meskipun dirinya hanya seorang pembantu rumah. Dia tidak curi tulang dan dia juga menjalankan tugas dengan begitu baik, sama ada dilihat atau tidak oleh majikannya kerana dia tahu ALLAH sentiasa melihat segalanya.

Artikel Berkaitan:

Atas kejujuran dan kesungguhannya bekerja, ibu mak cik Teo telah mewasiatkan wang sebanyak RM20,000 kepada Saadiah untuk dia menunaikan haji, sebelum meninggal dunia empat tahun yang lepas. Kini, setelah pemergian mendiang, Saadiah menjaga mak cik Teo pula sehinggalah beliau memeluk Islam dua bulan yang lepas. Beliau memilih nama Hidayah kerana anugerah hidayah daripada ALLAH SWT untuknya.

Setiap orang Islam tidak boleh mencuri, menipu, menyakiti hati orang lain, dan melakukan apa sahaja jenis kemungkaran atau perkara yang tidak baik. Komitmen untuk menjadi seorang Muslim yang baik secara tidak langsung merupakan dakwah bil hal, iaitu dakwah menerusi contoh yang baik kepada orang bukan Islam. Masalah besar hari ini adalah ramai orang Islam tidak komited dengan ajaran Islam serta tidak menunjukkan imej yang baik.

Sekiranya seorang Muslim melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna, seperti jujur dalam setiap perbuatan dan pekerjaan, menepati janji, berdisiplin dan berakhlak mulia, orang bukan Islam akan boleh nampak dan menerima kebaikan Islam. Ini adalah kerana Islam merupakan satu-satunya panduan cara hidup yang lengkap dan syumul untuk seluruh umat manusia. Ajaran Islam yang sebenar akan memandu manusia ke arah kehidupan yang lebih sempurna.

Kita biasa melihat orang Islam yang menunaikan solat tetapi masih tidak menunjukkan akhlak yang baik. Sering kali juga kita berhadapan mereka yang mengaku Islam tetapi suka memfitnah, mengamalkan rasuah serta bersifat pemarah. Kenapa terjadi sebegitu?

Bagi yang memelihara solat, sekiranya mereka benar-benar faham dan menjiwai apa yang dibacakan ketika solat, mereka sepatutnya mempunyai akhlak yang mulia serta menjadi orang yang bertanggungjawab, baik, jujur dan amanah.

Semoga lebih ramai lagi umat Islam yang dapat menunjukkan imej dan akhlak seorang Islam yang baik sebagaimana pembantu rumah tersebut, kerana itu merupakan pendekatan dakwah yang terbaik dan berkesan.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan