X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Isu Mitra: Siasatan dalaman sejurus selesai siasatan SPRM

Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara akan menjalankan siasatan dalaman berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sejurus selesai siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri berkenaan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, siasatan SPRM bukan hanya melihat isu berkaitan jenayah, malah turut melibatkan proses bagaimana kelulusan geran peruntukan Mitra itu diberikan.

Beliau berkata, SPRM juga akan mengemukakan cadangan untuk memantapkan proses supaya tidak berlaku ketirisan dalam membelanjakan peruntukan RM100 juta oleh Kementerian Kewangan kepada masyarakat India di negara ini.

“Kita beri ruang kepada SPRM untuk jalankan siasatan. Apabila kita bicara tentang bagaimana proses geran itu diluluskan atau diberikan, sudah tentulah ia melibatkan pegawai-pegawai atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab memberikan kelulusan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan siasatan kes seleweng dana MITRA hampir selesai

SPRM siasat semua penerima geran MITRA

Dewan Rakyat kecoh isu MITRA

Beliau turut yakin Pelan Tindakan Masyarakat India yang akan dilancarkan tahun hadapan lebih terjurus kepada pemantauan, pelaksanaan dan penilaian program termasuk bentuk kelulusan yang sepatutnya diberikan kepada masyarakat India.

Pada Isnin, SPRM memaklumkan pihaknya hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra dan ia akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi dicadangkan pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perpaduan (MExUnity) diwujudkan bagi membincangkan isu dan masalah yang berkaitan dengan perpaduan selain Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang menjadi platform untuk membincangkan hal-hal berkaitan agama selain Islam.

Menurutnya, Harmoni bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diwujudkan agar semua ketua agama duduk bersama wakil pihak Jakim untuk ‘mengharmonikan’ sekiranya berlaku sebarang perkara yang berkaitan agama di peringkat Persekutuan atau negeri sekali gus mengambil jalan penyelesaian terbaik.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara sebanyak RM342 juta menerusi undi suara selepas mendapat lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Sebelum itu, seramai 22 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas menyertai sesi perbahasan peringkat jawatankuasa yang melibatkan kementerian berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!