Cuaca punca harga sayur naik di Pulau Pinang

Keadaan cuaca yang tidak menentu serta hujan merupakan faktor utama kenaikan harga sayur-sayuran di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan.Gambar hiasan
Keadaan cuaca yang tidak menentu serta hujan merupakan faktor utama kenaikan harga sayur-sayuran di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan.Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Keadaan cuaca yang tidak menentu serta hujan merupakan faktor utama kenaikan harga sayur-sayuran di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan.

Faktor itu turut mengakibatkan bekalan sayur dari Cameron Highlands rosak sekali gus bekalan berkurangan di pasaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Selain faktor itu, bekalan sayur-sayuran import juga berkurangan susulan negara pengeluar mengalami keadaan cuaca (musim sejuk yang melampau) serta kenaikan kos pengangkutan kontena daripada negara asal," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Ridzuan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa KPDNHEP dan FAMA supaya mengambil langkah segera dalam menangani masalah kenaikan harga sayur.

Menurut CAP, harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasaran didapati naik sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Katanya, terdapat harga lapan jenis sayuran didapati naik antaranya kubis bunga; sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

Dalam pada itu Mohd Ridzuan berkata, Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan serta menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pengimport dan pemborong sayur bagi mendapatkan maklumat harga sayur-sayuran.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna yang mempunyai maklumat berkenaan harga barangan boleh menyalurkan kepada kami untuk tindakan lanjut.

"Beberapa saluran untuk dihubungi telah disediakan antaranya Call Centre di talian 1 800 886 800, WhatsApp KPDNHEP di talian 019-279 4317 dan emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Sayur pula naik harga