Enam termasuk dua remaja didakwa subahat, bunuh ah long di Klang

Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor. - Foto Astro AWANI
Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor. - Foto Astro AWANI
A
A
A

KLANG - Enam individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Selasa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, awal November lalu.

Tertuduh, Tan Ah Chai, Yeo Ching Lian, Lau Zi Hui dan Yap Soon Kuan kelihatan mengangguk kepala dan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

Kesemua empat suspek tersebut yang berusia 18 hingga 36 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302/34 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala dua lagi tertuduh, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng menghadapi pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua enam individu terbabit.

Jika disabitkan kesalahan oleh kedua-dua seksyen berkenaan tertuduh berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

Empat tertuduh iaitu Tan Ah Chai, Lau Zi Hui, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng diwakili peguam, Lim Chee Chau.

Sementara Yeo Ching Lian pula diwakili peguam, Ng Li Kian dan Yap Soon Kuan pula diwakili Helen Fong.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dipercayai ah long maut ditetak

Enam lelaki direman bantu siasatan kes bunuh ah long

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan forensik daripada pihak berkuasa, selewat-lewatnya 31 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

Majistret kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari 2022.

Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ‘ah long’ ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam yang terletak Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan tersebut.

Salah faham dan dendam lama sesama ahli kongsi gelap Geng 24 dipercayai merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek.

Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor.

Selain itu, polis turut merampas barang kes termasuk pakaian dan kereta yang digunakan suspek semasa dan selepas kejadian. - Awani