X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Ops Sedar pantau pengguna jalan raya tanpa insurans

JPJ ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bagi memantau pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans bermula Rabu.

JPJ dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan serta sekatan jalan raya itu akan dijalankan berikutan masih ramai pemilik kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Menerusi pemerhatian yang dijalankan, kami mendapati masih ramai pengguna jalan raya gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor pada kenderaan yang mereka guna di atas jalan raya.

"Pada amnya, pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans, akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan semasa menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, pihak JPJ menyarankan supaya pengguna jalan raya tidak menunggu hingga ke saat akhir sebelum memperbaharui Cukai Jalan (LKM) dan lesen memandu (LMM) masing-masing.

Tambahnya, orang ramai boleh memperbaharui LKM dan LMM mereka semasa Ops Sedar dijalankan di lapangan menerusi kemudahan Mobile JPJ yang akan disediakan untuk tujuan memperbaharui lesen berkenaan secara terus.

"JPJ tidak menerima sebarang arahan bagi tujuan kelonggaran penangguhan bayaran pembaharuan kedua-dua LKM dan LMM yang akan berakhir pada jam 12 tengah malam pada 31 Disember ini," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!