Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di tebing sungai

 Eng Lai
Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu mayat ditemui di tebing sungai di tapak pelupusan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan mayat lelaki yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 50-an itu sekitar jam 1.56 petang.

Menurutnya, bangsa dan warganegara mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan hasil siasatan mendapati mayat tersebut hanyut dari tempat lain sebelum tersangkut di tebing sungai berkenaan.

"Hasil bedah siasat mendapati pada tubuh badan mangsa tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah dan di bahu kanan mangsa terdapat corak tatu.

"Suntikan vaksin Bacillus Calmette–Guerin (BCG) pada bahagian bahu kiri tidak dapat dikesan kerana mayat telah reput. Mangsa memakai baju-T berkolar bulat berwarna kemerah-merahan yang telah lusuh, berseluar jean dan tidak berkasut," katanya.

Eng Lai berkata, masih belum ada ahli keluarga atau mana-mana pihak yang tampil untuk menuntut mayat tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206, hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau pegawai penyiasat Sarjan Kamilan 018-3913 856," ujarnya.

Artikel Berkaitan: