Bunuh wanita: Penolong pegawai perubatan kekal bebas

Zurailie (kanan) hadir di Mahkamah Persekutuan bagi kes bunuh seorang kerani sekolah agama di Taman Setia Kasih, Sungai Terap, Muar, Johor pada 2015 lalu.
Zurailie (kanan) hadir di Mahkamah Persekutuan bagi kes bunuh seorang kerani sekolah agama di Taman Setia Kasih, Sungai Terap, Muar, Johor pada 2015 lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu yang melepas dan membebaskan penolong pegawai perubatan, Zurailie Muhamad, 36, daripada pertuduhan membunuh seorang kerani sekolah agama, 2015 lalu.

Ia selepas keputusan sebulat suara diputuskan oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Hakim, Puan Seri Zaleha Yusof dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal.

Di akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dengan keputusan mahkamah terdahulu yang melepas dan membebaskan Zurailie selaku responden daripada tuduhan membunuh, Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29.

Tengku Maimun berkata, Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Oleh itu, rayuan pendakwa ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh berhujah, meskipun tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) responden ditemui pada mangsa, namun mahkamah terdahulu terkhilaf apabila gagal mengambil kira bukti-bukti mengikut keadaan (circumstancial evidance).

Menurutnya, ada keterangan saksi yang menyatakan responden cuba menolak (jual) telefon bimbit mangsa kepada kawannya untuk melunaskan hutang sebanyak RM500.

"Rakan responden itu ada bertanya kepada responden dari mana datangnya telefon bimbit itu dan dia diberitahu bahawa dia (Zurailie) mendapat telefon bimbit itu daripada jirannya.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga keterangan saksi yang menyatakan Zurailie telah menjual barang kemas mangsa termasuk seutas rantai dan cincin belah rotan dengan harga RM1,000," katanya.

Selain itu beliau berkata, tindakan Zurailie sebelum ini menimbulkan keraguan antaranya 'memujuk' suami mangsa agar bedah siasat ke atas mayat Nurul Shahira tidak dijalankan, memanjat pagar lokap dan melarikan diri.

Berhubung ketiadaan DNA responden pada kuku mangsa, Faizah berkata, ketika kejadian Nurul Shahira berusaha untuk melepaskan jerutan di lehernya.

Ia selari dengan keterangan saksi, yang menyatakan terdapat DNA mangsa pada kuku, dengan kesan luka di leher, yang menunjukkan mangsa sedang cuba melonggarkan jerutan.

Sementara itu, peguam, Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Zurailie berkata, laporan forensik hanya menunjukkan kehadiran DNA suami mangsa.

Menurutnya, tiada laporan yang menunjukkan kehadiran DNA responden pada tubuh atau pakaian mangsa.

“DNA air mani juga tidak berpadanan dengan responden sebaliknya berpadanan dengan DNA suami mangsa.

“Selain itu, ada kecacatan pada kes pendakwaan apabila pegawai penyiasat gagal membuat siasatan lanjut mengenai barang kemas dan telefon bimbit mangsa yang dikatakan berada dalam milikan anak guamnya selepas kejadian pembunuhan itu berlaku," katanya.

Pada 17 November 2015, media melaporkan, seorang kerani sekolah agama di Bukit Pasir, Nurul Shahira ditemui mati di rumahnya di Sungai Terap, Muar.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob (ketika itu) berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang di rumahnya di Taman Setia Kasih.

Susulan itu, pada 3 Disember tahun sama, Zurailie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan membunuh wanita itu.

Pada 28 Januari 2018, Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan Zurailie tanpa memanggil lelaki itu daripada tuduhan membunuh Nurul Shahira antara jam 2.05 hingga 2.30 petang, 16 November 2015.

Keputusan tersebut turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 November 2019.