Gangguan seksual: Usah polemik, fokus tindakan lanjut

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu gangguan seksual dalam industri seni tanah air tidak harus dijadikan polemik sebaliknya perlu difokuskan tindakan lanjut memandangkan ia adalah salah di sisi undang-undang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, gangguan seksual bukan isu remeh selain boleh menyebabkan seseorang itu terkesan akibat trauma dan gangguan kesihatan mental.

Beliau juga telah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan susulan sekiranya benar terdapat aduan berkaitan gangguan seksual dalam industri seni tanah air.

“Yang penting, mangsa gangguan seksual perlu melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Saya minta polis lakukan tindakan susulan kalau betul ada aduan (gangguan seksual) dalam industri, contoh ketika dalam penggambaran. Saya minta polis buat siasatan secara proaktif dan ambil tindakan. Tidak perlu polemik kerana kita ada undang-undang,” katanya mengulas laporan media yang pandangannya berkaitan gangguan seksual telah disalah tafsir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Informatik Visual Ketujuh (IVIC’21) dekat sini pada Selasa.

Berhubung laporan media itu, Annuar menjelaskan, beliau menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada wartawan untuk menemu bual mengenai tajuk gangguan seksual dalam industri seni tanah air di mana beliau kemudiannya mencadangkan agar tajuk temu bual menyentuh skop besar mengenai industri kreatif dan tidak tertumpu kepada isu gangguan seksual sahaja.

“Saya maksudkan ada perkara-perkara lain yang lebih besar berkaitan industri kreatif. Malangnya tajuk gangguan seksual dijadiklan tajuk berita bahawa saya kata isu gangguan seksual tidak perlu diperbesarkan. Itu dah lain,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: