Pembinaan lebuh raya, hujan berpanjangan punca banjir kilat

Keadaan banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).
Keadaan banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).
A
A
A

AMPANG JAYA - [DIKEMASKINI] Sisa tanah daripada tapak pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai salah satu punca banjir kilat di Lembah Permai, Bukit Belacan di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sisa tanah dan hujan yang berlarutan sehingga lima jam menyebabkan air dari sungai Ampang melimpah walaupun empangan tidak dibuka.

Menurutnya, kejadian banjir seperti itu pernah berlaku sebelum ini, tetapi hanya disebabkan pelepasan air dari empangan Ampang pada tahun 2007 dan 2012.

"Banjir yang ini kecil, sebelum ini banjir sebab pembukaan empangan, tetapi yang ini kerana hujan dan lumpur serta pasir telah mencetekkan sungai untuk menampung air.

"Hujan selama lima jam membawa 140 milimeter (mm) hujan yang mana Sungai Ampang ini hanya boleh menampung sebanyak 60 mm dan menyebabkan ia melimpah keluar," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Lembah Permai di sini pada Selasa.

Hadir sama melawat mangsa di PPS tersebut adalah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha.

Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pihaknya akan meneliti tindakan yang diambil terhadap pihak EKVE dan segala pampasan kepada mangsa dibincangkan mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan dari segi kecuaian dan sebagainya akan disemak dahulu kerana masih awal lagi, jadi kita semak dulu.

"Pampasan kita akan bincang jika ada yang terjejas secara teruk memandangkan ada satu jambatan yang roboh. Itu kita akan bincang, kalau ada keperluan EKVE boleh beri sumbangan untuk bina semula," katanya.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dan pembersihan akan dijalankan secepat mungkin supaya mangsa dapat kembali ke kediaman masing-masing dalam masa terdekat.

"Saya pastikan EKVE mengambil tindakan sewajarnya dan saya tidak mahu kejadian ini berlaku lagi kerana hujan akan melanda lagi.

"Kita akan pastikan kerja pembaikan dipercepatkan dan kena pastikan keseluruhan struktur pembangunan lebuhraya itu tidak terjejas dengan kejadian ini," katanya.