Dedah data akaun bank, wanita hilang RM50,000

Ahmad Jawila
Ahmad Jawila
A
A
A

LABUAN - Tindakan seorang wanita mendedahkan data peribadi berkaitan akaun bank miliknya menyebabkannya kehilangan wang sebanyak RM50,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mengaku sebagai pegawai bank dan polis.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Isnin apabila mangsa berusia 49 tahun menerima panggilan pada jam 1.57 petang yang memaklumkannya berhubung penggunaan kad kredit yang didakwa miliknya.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa membuat laporan pada hari yang sama kira-kira jam 9.30 malam selepas menyedari ditipu oleh sindiket berkenaan.

Katanya, menurut laporan, mangsa yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat di Patau-Patau memaklumkan menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai bank.

"Individu yang mendakwa sebagai pegawai bank itu memaklumkan bahawa kad kredit atas nama mangsa mempunyai transaksi sebanyak tiga kali dengan jumlah RM15,991.

"Mangsa kemudian menafikan perkara itu dan menyatakan tidak memiliki kad kredit daripada bank berkenaan, namun mangsa diarahkan untuk membuat pengesahan bagi mengemas kini akaun banknya dan pada masa sama mangsa terus sahaja memberikan maklumat peribadinya," kata beliau ketika dihubungi pada Selasa.

Ahmad berkata, mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi individu lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman yang mengaku mengendalikan kes itu.

"Mangsa kemudian berasa curiga sebelum bertindak menghubungi pihak bank dan disahkan bahawa wangnya telah dipindah keluar sebanyak RM50,000.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum itu, Ahmad menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui panggilan telefon atau di media sosial kepada individu yang tidak dikenali.

"Orang ramai boleh membuat semakan di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa ditipu," katanya.