Bomba kaji keperluan tubuh Mocsar di Cameron Highlands

Mohammad Hamdan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 kepada Sabarodzi Nor Ahmad daripada Bahagian Latihan JBPM Perak.
Mohammad Hamdan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 kepada Sabarodzi Nor Ahmad daripada Bahagian Latihan JBPM Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia mengkaji keperluan mewujudkan pasukan mencari dan menyelamat di gunung dan gua (Mocsar) di Cameron Highlands.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, penubuhan pasukan itu akan menjadi alternatif bagi mempercepatkan tindak balas terhadap kes-kes kecemasan seperti tanah runtuh, banjir dan banjir lumpur di kawasan berkenaan.

"Kita di Cameron Highlands ada balai (bomba), namun pada masa sama kita juga melihat kawasan yang memerlukan.

"Dari segi response time, kawasan tersebut tidaklah sukar untuk kita bertindak balas dengan cepat, namun cadangan yang baik untuk kita tubuhkan pasukan ini (Mocsar).

"Insya-ALLAH kita akan kaji keperluannya di Cameron Highlands sama seperti di Kuala Tahan, Pahang dan Gunung Trong, Kelantan," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Perak dan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Utara di sini pada Selasa.

Beliau berkata, anggota Mocsar yang direkrut dalam kalangan penduduk dan komuniti setempat itu berupaya bertindak lebih responsif membantu pasukan bomba terhadap sebarang insiden.

Katanya, selain menerima latihan secara fizikal, anggota pasukan itu turut dilengkapi dengan pelaratan menyelamat dan peralatan perlindungan diri (PPE).

"Kita perlukan kerjasama daripada pihak komuniti, jika mereka tidak bantu kita susah. Sebagai contoh di kawasan pergunungan, peranginan, bukit, gua dan jeram, balai bomba tidak boleh dibina di kawasan itu, tetapi kes banyak berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, Mocsar sudah ditubuhkan di Sarawak dan kita akan perluaskan peranan pasukan ini di Kelantan, Pahang serta Perak pula," katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 pegawai dan anggota JBPM Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.

Turut disampaikan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pegawai Cemerlang Berterusan 2020.

Media pada Isnin melaporkan hujan lebat yang berlarutan hampir dua jam sejak jam 11 pagi telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di 10 lokasi di dalam daerah Cameron Highlands hingga menghalang laluan kenderaan.

Kejadian turut menyebabkan pokok tumbang dan menghempap sebuah kenderaan SUV yang terdapat empat orang penumpang lelaki dewasa.

Dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi sementara dua lagi berjaya dikeluarkan anggota bomba.