RMK12: Selangor terima peruntukan RM1.756 bilion

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

SEPANG - Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM1.756 bilion bagi tahun 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sebanyak RM1.684 bilion daripada peruntukan itu melibatkan projek sambungan manakala baki RM72 juta adalah untuk projek baharu.

“Projek sambungan itu termasuklah menaik taraf jalan raya, jalan baharu di Serendah, pembinaan pusat kardiologi Hospital Serdang dan pembinaan Hospital Tanjung Karang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi sesi Roadshow Pasca RMKe-12, di sini, pada Selasa.

Mengenai pertemuan tersebut, Mustapa berkata, pihaknya mengambil maklum tentang isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh Amirudin yang juga relevan di semua negeri.

"Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, nak menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat. Antara yang kita bincangkan tadi tentang air, jalan raya, sekolah dan hospital.

"Mengenai infrastruktur berkaitan air, antara yang utama tadi adalah berkaitan Sungai Rasau, ia melibatkan peruntukan yang besar, ia sudah pasti satu isu yang penting tapi ia belum ada dalam perancangan kita (tahun depan), (namun) ini boleh kita bincang untuk tahun 2023," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, di bawah RMK12, sebanyak 10 projek sambungan akan diteruskan pada tahun depan termasuk membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa Tiga melibatkan kos sebanyak RM887 juta dan pembinaan jalan baharu di kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP) di Serendah melibatkan kos RM121 juta.

"Ini (jalan baharu) penting sebab UMW HVMP adalah kawasan seluas 323.75 hektar untuk pembinaan sektor aeroangkasa. Sekarang ini dalam sekitar 121.4 hektar saja baru digunakan. Dengan adanya jalan ini, saya percaya ada banyak lagi perkilangan baharu yang akan dibuka di sana dan akan menggerakkan Serendah sebagai kawasan bernilai tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amirudin, dalam pertemuan bersama Mustapa itu antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu infrastruktur dan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi selepas pendemik terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan dan keperluan untuk peyelarasan yang lebih kerap antara kerajaan pusat dan negeri terutamanya untuk memantau projek bagi kesejahteraan dan kebaikan bersama. - Bernama