Imigresen longgar syarat Program Rekalibrasi Tenaga Kerja

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan melonggarkan beberapa syarat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kelonggaran syarat tersebut diputuskan menerusi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6 pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, antaranya adalah kelulusan kuota sebanyak 70 peratus akan diberi secara terus daripada jumlah permohonan yang melepasi saringan verifikasi di bahagian penguat kuasa, manakala baki 30 peratus tertakluk kepada keputusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Kementerian Sumber Manusia.

"Selain itu, kebenaran turut diberikan kepada majikan di dalam sektor Pembinaan, Pertanian, Perkilangan, Perladangan dan Perkhidmatan (subsektor restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian) serta telah diperluaskan kepada sektor sektor lain kecuali kepada sektor yang dibekukan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee berkata, selain itu, syarat kelayakan pendatang asing tanpa izin (PATI) turut diperluaskan kepada pemegang pas lawatan jangka panjang yang telah tamat tempoh.

"PATI yang telah dikeluarkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di dalam Program Rehiring dan 6P yang telah tamat tempoh juga dibenarkan untuk menyertai Program RTK.

"Selain itu, syarat kelayakan umur PATI semasa permohonan dikemukakan telah dipanjangkan dari umur 18 hingga 45 tahun kepada 18 hingga 49 tahun," katanya.

Katanya, Imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau ejen untuk menguruskan RTK.

Artikel Berkaitan:

"Semua majikan diingatkan supaya berurusan terus dengan pihak Imigresen tanpa melalui pihak ketiga atau ejen bagi mengelakkan daripada ditipu," katanya.