Sentuh hak orang Sabah, Azis sahkan dipanggil ke Bukit Aman

Azis (depan) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Azis (depan) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman menggesa kerajaan memberi penjelasan mengapa hanya beliau yang dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis susulan tindakannya menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika membahasakan Bajet 2022 baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa ahli Parlimen lain turut menyentuh isu sama, namun amat mengejutkan apabila hanya beliau yang dipanggil untuk memberi kenyataan.

“Hari ini, saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi kenyataan berhubung perbahasan saya sewaktu Bajet 2022 dan sangat mengejutkan apabila saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa setakat ini, hanya saya seorang telah dipanggil untuk memberi keterangan terhadap perkara yang saya sebutkan dalam perbahasan.

“Apa yang saya sebutkan dalam perbahasan itu adalah suara dan keluhan rakyat Sabah berkenaan dengan perihal pengagihan peruntukan dalam bajet negara kita," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Sidang akhbar itu turut disertai beberapa ahli Parlimen pembangkang lain antaranya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking.

Azis juga dimaklumkan perkara itu disiasat dan tidak tahu beliau akan didakwa atau tidak.

"Saya tetap berpegang dengan kenyataan yang telah saya sebutkan dalam perbahasan sebelum ini.

“Jadi, saya harap kerajaan sekali lagi menjelaskan mengapa dalam soal ini, setakat saya dimaklumkan hari ini bahawa saya seorang sahaja yang disiasat apabila menyentuh tentang hak dan kepentingan orang Sabah,” katanya.

Artikel Berkaitan: