MPSJ tambah laluan bas Smart Selangor

Sze Han (enam, kanan) membuat gimik pelancaran sambil disaksikan oleh Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah (empat, kiri) dan Zulkurnain (tiga, kiri).
Sze Han (enam, kanan) membuat gimik pelancaran sambil disaksikan oleh Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah (empat, kiri) dan Zulkurnain (tiga, kiri).
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Perkhidmatan bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diperluaskan bagi memberi kemudahan pengangkutan awam percuma buat penduduk di kawasan berkenaan.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kamping Baru Selangor, Ng Sze Han berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk menambah satu laluan baharu iaitu SJ05 di bawah MPSJ dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lima laluan bas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pelancaran laluan berkenaan merupakan satu perkhabaran baik buat penduduk di DUN Seri Kembangan dan DUN Seri Serdang berikutan ia menghubungkan dua kawasan berkenaan.

"Laluan ini akan bermula dari Taman Equine dan berakhir di Kampung Baru Seri Kembangan malah ia merangkumi satu kawasan yang besar. Dan pelaksanaannya juga sudah bermula sejak 1 Februari lalu lagi bagi memberi kemudahan buat penduduk setempat,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Zulkurnain Che Ali berkata pembukaan laluan tersebut dibuat selepas pihaknya mendapat rungutan daripada masyarakat setempat tentang kesukaran bagi mendapatkan perkhidmatan bas percuma untuk ke Hospital Serdang dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kos bagi pelaksanaan itu menelan belanja RM6.2 juta di mana RM4.3 juta dibiayai oleh Kerajaan Selangor dan selebihnya menggunakan peruntukan daripada MPSJ.

"Sebanyak empat buah bas disediakan bagi laluan baru ini menjadikan jumlah keseluruhan bas Smart Selangor MPSJ adalah sebanyak 20 buah.

"SJ05 meliputi beberapa kawasan di Taman Pinggiran Putra, Taman Equine, Taman Universiti, Taman Bukit Serdang,Kampung Baru Seri Kembangan dan Taman Serdang Jaya sejauh 27.44 kilometer dengan kekerapan masa perjalanan selama 25-25 minit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, difahamkan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor ini juga akan beroperasi bermula seawal 6 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.