Covid-19: 69,696 individu dewasa di Sabah terima dos penggalak vaksin

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 69,696 populasi dewasa di Sabah telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat ini, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata, pihaknya optimis jumlah itu akan meningkat dan berharap lebih ramai individu dewasa yang layak menerima suntikan dos penggalak untuk tampil berbuat demikian di mana-mana klinik dan hospital berdekatan.

Menurutnya, penerima vaksin Pfizer boleh mengambil dos penggalak selepas enam bulan lengkap divaksinasi manakala penerima vaksin Sinovac pula selepas tiga bulan menerima suntikan kedua.

"Untuk dos ketiga yang diberikan kepada individu berisiko pula, lebih 4,000 individu telah menerima suntikan tersebut setakat ini. Dos ketiga ini adalah untuk individu mempunyai komorbid atau penyakit yang memerlukan mereka untuk mendapatkan dos seterusnya selepas dos kedua," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 dan Penghargaan Pesara 2021 kepada petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di sini, pada Selasa.

Dr Rose Nani berkata, JKNS masih lagi melaksanakan program bantuan vaksinasi dan jabatan itu mempelawa mana-mana individu dewasa di Sabah yang masih belum menerima suntikan untuk segera tampil berbuat demikian.

"Lebih 100 klinik dan hospital masih dibuka untuk pemberian vaksin. Mana-mana individu boleh datang ke klinik terbabit pada waktu pejabat," katanya, sambil menambah terdapat empat daerah belum mencapai 80 peratus penduduk divaksinasi iaitu Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Nabawan.

Sehubungan itu JKNS dengan kerjasama Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat di daerah berkenaan membuat aktiviti bancian bagi memastikan tidak ada rakyat tercicir daripada menerima suntikan vaksinasi Covid-19, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, statistik kes Covid-19 di Sabah adalah tidak menentu dengan kira-kira 400 hingga 600 kes direkodkan sehari, dan menurutnya, pelanggaran SOP dikhuatiri akan menyumbang kepada kewujudan kluster baharu dan menyebabkan kes harian melonjak naik.

"Kita sedia maklum Covid-19 kini sudah berada dalam komuniti. Walaupun sudah menerima vaksinasi, namun, setiap individu perlu memainkan peranan dalam mematuhi setiap SOP ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan," katanya, sambil memaklumkan 13 kluster Covid-19 dilaporkan masih aktif di Sabah. - Bernama