Hiwalah bela nasib anak, isteri

Sinar Harian pada Isnin melaporkan suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank. Gambar kecil: Nuridah Mohd Salleh. - Foto FB Nuridah Mohd Salleh
Sinar Harian pada Isnin melaporkan suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank. Gambar kecil: Nuridah Mohd Salleh. - Foto FB Nuridah Mohd Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan melaksanakan perintah hiwalah adalah tindakan yang tepat bagi menangani kes keculasan bekas suami dalam pemberian nafkah dan mut'ah.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, ia adalah sebagai pengajaran dan peringatan kepada bekas suami untuk melaksanakan perkara yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya.

"Dewan Muslimat Pas ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang telah berusaha menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kepatuhan hukum syarak dengan menguatkuasakan perintah hiwalah.

"Penguatkuasaan ini diharapkan dapat memastikan hak nafkah dan mut'ah bekas isteri dan anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami hanya kerana anak-anak tersebut di bawah jagaan bekas isteri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:Suami, bekas suami culas bagi nafkah akan disekat akaun bank

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Tindakan itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari lalu.

Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 telah memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) akan melaksanakan fungsi penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah terhadap bekas suami atau bapa yang culas dalam pembayaran nafkah dan mut'ah serta sentiasa mencari kaedah terbaik dalam membantu ibu dan anak dinafikan hak mereka.