MAB tiada hak masuk campur isu pengiring OKU penglihatan

Seorang lelaki OKU penglihatan sedang dipimpin teman pengiringnya yang juga seorang wanita ketika bekerja menjual penanda buku kepada orang ramai.
Seorang lelaki OKU penglihatan sedang dipimpin teman pengiringnya yang juga seorang wanita ketika bekerja menjual penanda buku kepada orang ramai.
A
A
A

Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) memang ada menerima maklumat mengenai tindakan segelintir OKU yang menggunakan khidmat pengiring bukan dalam kalangan ahli keluarga untuk membawa mereka keluar bekerja termasuk aktiviti menjual tisu yang sering dilihat masyarakat ketika ini.

Eksekutif Kanan Aksesibiliti dan Advokasi MAB, Siti Huraizah Ruslan berkata, malah ada dalam kalangan OKU penglihatan itu yang menggunakan khidmat pengiring warga asing.

"Tetapi bukanlah tanggung jawab MAB untuk menentukan secara wajib siapa yang boleh jadi pengiring mereka.

"MAB hanya sebuah persatuan dan tidak masuk campur apatah lagi menjaga hak privasi seseorang OKU penglihatan. Ini termasuklah dalam soal isu OKU penglihatan menggunakan khidmat pengiring daripada kalangan mereka yang bukan mahram atau berlainan berlainan jantina," katanya.

Menurut Siti Huraizah, khidmat pengiring sememangnya sedang rancak digunakan oleh OKU penglihatan sekarang ini untuk membawa mereka bekerja terutama dalam kalangan OKU penglihatan warga emas.

Situ Huraizah
Situ Huraizah

"Khidmat pengiring adalah salah satu cara supaya memudahkan OKU mencari pendapatan sama ada untuk diri sendiri dan keluarga terutama di bandar-bandar besar di negara ini.

"Mereka terpaksa melakukan pekerjaan seperti menjual tisu dari meja ke meja restoran dan untuk memudahkan pergerakan, maka mereka menggaji pengiring. Sebahagian daripada hasil (wang diperoleh) daripada aktiviti itu nanti akan dikongsi kepada indvidu yang sudi bawa mereka bekerja," katanya.

Tambahnya, individu yang sudi menjadi pengiring pula tidak semestinya dari dalam kalangan ahli keluarga mereka bahkan ada juga ahli keluarga OKU itu sendiri tidak berupaya membawa mereka keluar bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Dalam isu khidmat pengiring ini, sebenarnya terserah kepada persepsi masyarakat untuk menilai," katanya.