Saham perbankan lonjak indeks utama Bursa Malaysia

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.18 mata kepada 1,531.05 daripada 1,526.87 pada penutupan urus niaga Isnin.Gambar hiasan
Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.18 mata kepada 1,531.05 daripada 1,526.87 pada penutupan urus niaga Isnin.Gambar hiasan
A
A
A

MINAT belian sederhana terhadap saham perbankan menyaksikan indeks utama Bursa Malaysia meneruskan aliran menaiknya dalam sesi urus niaga awal pagi Selasa.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.18 mata kepada 1,531.05 daripada 1,526.87 pada penutupan urus niaga Isnin.

Indeks utama dibuka 0.38 mata lebih tinggi pada 1,527.25.

Namun begitu, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan lemah dengan kaunter rugi mengatasi untung 187 berbalas 166 manakala 263 kaunter tidak berubah, 1,720 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 179.70 juta unit bernilai RM102.80 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dengan menjejaki prestasi negatif semalaman di Wall Street, pasaran boleh menjangkakan tekanan jualan akan melimpah ke pasaran tempatan, khususnya bagi saham teknologi.

"Sementara itu, kami mendapati dana asing telah menjual ekuiti tempatan sejak dua hari dagangan yang lepas dan ini mungkin akan melemahkan lagi sentimen. Justeru, melihatkan kepada situasi ini, peserta pasaran akan memberi tumpuan kepada musim pendapatan yang berlangsung pada masa ini manakala indeks utama diunjur terus berada dalam mod penstabilan tanpa sebarang pemangkin baharu.

"Harga minyak sawit mentah (MSM) kekal pada paras tinggi melebihi RM4,900, sementara harga minyak mentah berlegar di atas paras AS$78 setong," kata firma broker itu dalam satu catatan penyelidikan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ia menambah, saham perladangan mungkin boleh meningkat berdasarkan kepada harga MSM yang tinggi di tengah-tengah musim pendapatan berikutan keputusan kukuh yang dicatatkan Ta Ann Holdings Bhd pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021.

"Selain itu, pelabur boleh meninjau kaunter berkaitan pembayaran dan e-dagang di tengah-tengah pembukaan semula aktiviti perniagaan dan ini juga lambat laun boleh memberi manfaat kepada saham perbankan," tambah Malacca Securities.

Saham perbankan Public Bank menokok dua sen kepada RM4.09 dan CIMB naik tiga sen kepada RM5.19.

Saham wajaran tinggi lain, Maybank menambah satu sen kepada RM8.16, Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM8.32, TNB meningkat empat sen kepada RM9.54, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.62 dan Press Metal susut dua sen kepada RM5.72.

Bagi saham aktif, Iconic Worldwide dan JAG naik satu sen, masing-masing kepada 38.5 sen dan 39 sen, Malaysian Bulk Carrier menambah 1.5 sen kepada 61.5 sen, YBS International menokok tiga sen kepada 61 sen, Kejuruteraan Asastera meningkat setengah sen kepada 34.5 sen, Tanco tidak berubah pada 27 sen dan NWP susut 1.5 sen kepada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang sebanyak 22.84 mata kepada 11,268.10, Indeks FBMT 100 memperoleh 23.54 mata kepada 10,920.02, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 17.44 mata kepada 12,229.21, FBM 70 lebih tinggi 7.26 mata kepada 14,758.50 dan FBM ACE lega 4.72 mata kepada 6,788.85.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.20 mata kepada 200.31, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 34.69 mata kepada 15,316.68 dan Indeks Perladangan meningkat 24.64 mata kepada 6,710.07. - Bernama